Wednesday, March 13, 2013

LINGUISTIK UNTUK GURU BAHASA

Betulkah Guru Bahasa Malaysia Memerlukan Pengetahuan Linguistik?

Perkara ini memang telah lama dan selalu dipersoalkan oleh guru dan orang ramai. Semenjak linguistik menjadi satu disiplin yang popular, ahli linguistik juga kerap bertanyakan hal yang sama. Hal ini berlaku bukan kerana mereka tidak tahu kegunaan linguistik. Memang betul ramai antara ahli linguistik yang jarang memikirkan tentang kegunaan linguistik. Mereka hanya kerap berkecimpung dengan teori dan analisis linguistik sahaja. Sebenarnya memang ramai ahli linguistik yang telah mencuba menggunakan linguistik dalam bidang lain. Ramai ahli linguistik yang telah lama berkecimpung dalam bidang pengajaran bahasa. ada pula yang berusaha dalam bidang terjemahan, sosiolinguistik, psikolinguistik, dan sebagainya. Di samping itu banyak lagi kegunaan linguistik. Mungkin juga bukan ahli linguistik yang harus menentukan bahawa ilmu linguistik itu berguna dalam pendidikan, tetapi, terpulanglah kepada para pendidik untuk menentukan kegunaan linguistik dalam bidang pengajaran. Walau bagaimanapun, linguistik ialah satu ilmu baharu yang berkembang pesat, walaupun sebenarnya ilmu ini telah mula dikenali sejak zaman kesarjanaan Yunani dahulu lagi. Tetapi ilmu ini tidak begitu mudah difahami. Tambahan pula, kebanyakan buku linguistik sukar untuk dibaca dan difahami. Perkembangan linguistik amat pesat berlaku dan ini menambahkan kesukaran untuk memahaminya. Hal ini dapat dibuktikan dengan melihat bilangan jabatan pengajian linguistik yang telah dibuka di universiti-universiti, dan banyak pula kajian dijalankan serta penerbitan dihasilkan tentang linguistik. Kesemua perkembangan ini telah menambahkan kebingungan orang ramai. Itulah sebabnya linguistik dilihat dengan penuh kesangsian dan sukar diterima, dan malah kadang-kadang ada pihak yang terus menolaknya. Sebenarnya, kalau linguistik ini ditolak, bukanlah kerana kegunaannya kurang, tetapi kerana linguistik itu tidak dimengertikan dan tidak digunakan dengan baik.

Guna Linguistik dalam Pengajaran Bahasa
Kegunaan linguistik itu memang menjadi soalan yang selalu dikemukakan oleh ramai orang. Apakah gunanya linguistik terhadap pengajaran bahasa moden? Jadi bersidanglah seramai lebih kurang 200 orang ahli linguistik di Stockholm pada tahun 1963. Persidangan ini telah melahirkan Persatuan Linguistik Gunaan Antarabangsa. Persidangannya yang pertama diadakan di Nancy dan Persatuan itu menumpukan seluruh perhatian terhadap pengajaran bahasa moden. Banyak daripada butir dan isu yang disebut dalam makalah ini dikutip daripada laporan persidangan tersebut, iaitu Linguistic Theories and Their Applications, AIDELA (1967).
Seseorang penulis buku linguistik akan tentu dapat menyenaraikan banyak kegunaan ilmu linguistik. Kita boleh melihat kegunaan linguistik itu dalam bidang neurologi, matematik, sains maklumat, logik, falsafah, epistemologi, sejarah sosial, kesusasteraan, filologi, antropologi, sosiologi, psikologi, dan pedagogi. Baru-baru ini linguistik juga digunakan dalam terjemahan melalui komputer. Penggunaan linguistik dalam pengajaran selalunya dikenali sebagai linguistik gunaan dan ini termasuklah kajian fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, semantik, dan kadang-kadang termasuk juga tajuk-tajuk lain seperti psikolinguistik dan sosiolinguistik yang masing-masing memberi tumpuan kepada teori pemerolehan dan keadaan bahasa. Tajuk-tajuk lain juga mungkin termasuk. Sudah banyak kajian dan pendebatan ditumpukan kepada implikasi pengajaran yang terkandung dalam ilmu linguistik. Ini terkandung, misalnya, dalam buku S.P. Corder (19730, D.A. Wilkins (1972), P.Strevens (1977), K.C. Diller (1971), dan banyak lagi hasil karangan sarjana lain. Dengan itu, tidaklah bijak kalau kita hanya memandang sepi terhadap segala perkembangan ini dan masih meragui kegunaan linguistik dalam pengajaran bahasa.

Linguistik Bermula daripada Tatabahasa Tradisional
Memang selalu kita mendengar guru mengatakan mereka tidak memerlukan linguistik untuk mengajarkan bahasa Malaysia. Hal ini boleh jadi benar. Ada ramai guru bahasa Malaysia, lebih-lebih lagi daripada generasi yang lalu, tidak pun mendengar istilah linguistik, tetapi telah dapat mengajarkan bahasa Malaysia dengan baik. Hari ini guru bahasa diberi pengetahuan linguistik, dan dilengkapi pula dengan segala macam alat dan kemudahan, tetapi masih menghasilkan pelajar yang kadang-kadang tidak pun boleh bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik dan sempurna. Ini menimbulkan persoalan. Kita ketepikan semua soalan ini dan ambil satu sahaja. Betulkah linguistik itu diperlukan oleh guru bahasa Malaysia? Ada satu perkara yang jelas. Kita tidak harus berlagak seperti Pak Pandir dan menganggap linguistik baru sahaja ditemui. Linguistik ini satu ilmu yang sudah lama dipelajari. R.H. Robins (1967 hlm. 9-40) telah menunjukkan beberapa kejayaan sarjana Yunani. Memanglah sarjana-sarjana Yunani ini memikirkan hal bahasa dan masalah-masalah yang timbul daripada penyelidikan bahasa. hal ini memulakan apa yang kita kenali sebagai ilmu linguistik dalam pengertian yang luas. Kajian ini berterusan hingga ke hari ini. Linguistik telah lama digunakan oleh guru bahasa. bezanya hanyalah, mereka menggunakan linguistik tradisi yang penuh dengan pernyataan preskriptif dan normatif, tetapi, linguistik moden pula bersifat struktural dan deskriptif. Seseorang guru yang menggunakan sebuah buku tatabahasa lama untuk mengajarkan sebutan, tatabahasa, atau makna, sebenarnya menggunakan pengetahuan linguistik, iaitu linguistik tradisional. Ini juga linguistik dalam pengertian yang luas.

Linguistik dalam Kursus Perguruan
Kalau mahu mencari bukti lain bahawa linguistik itu berguna dalam pengajaran bahasa, kita tidak perlu pergi jauh. Lihat sahaja butir-butir semua panduan kursus TESL/TEFL/TESOL yang ditawarkan oleh sebarang universiti atau maktab di mana-mana sahaja. Semuanya memasukkan fonetik, fonologi, sintaksis, dan semantik ke dalam kursusnya. Ini ialah inti ilmu linguistik. Perkara-perkara ini tidak akan diajarkan kalau tidak penting dalam pengajaran bahasa. begitu juga kursus perguruan untuk bakal pengajar bahasa Malaysia, semuanya mengandungi unsur-unsur linguistik.
Kalau demikian, bagaimanakah kita dapat mengatakan linguistik itu penting untuk pengajaran bahasa? Jawapannya akan dapat kita ketahui dengan melihat bagaimana fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik mana-mana bahasa itu berguna dalam pengajaran bahasa tersebut. Tentulah tidak dapat kita sangkal asas teori bahawa sebarang pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran itu penting dalam pengajaran mata pelajaran tersebut. Deskripsi linguistik itu merupakan asas teori sesuatu bahasa. Deskripsi linguistik memberi deskripsi bahasa: struktur dan fungsi bahasa itu. Tentu sekali pengetahuan ini berguna dalam pengajaran bahasa.
Ada banyak cara linguistik itu boleh menjadi berguna kepada seseorang guru bahasa. E. Roulet (1975: 65-75) memberikan enam kegunaan linguistik dalam pengajaran bahasa:

Teori linguistik memberikan maklumat tentang struktur dan fungsi sistem bahasa itu secara umum kepada guru bahasa. Hal ini mungkin memainkan peranan penting dalam menentukan tujuan, isi, dan pendekatan sesebuah kursus bahasa.

Teori linguistik juga memberikan suatu bahasa perantaraan kepada guru. Ini ialah kesejagatan bentuk seperti jenis-jenis rumusan yang berlainan dalam tatabahasa transformasi generatif (rumus penyingkiran, rumus transformasi, dan sebagainya) dan keseragaman kategori-kategori seperti Frasa Nama, Frasa Kerja, atau ciri-ciri nahuan kata, seperti: + animat, + statif, dan seterusnya. Semua perkara ini boleh dipakai oleh guru dalam pengajaran bahasa.

Sama ada secara langsung atau tidak, teori linguistik tentang pemerolehan bahasa mempengaruhi perkaedahan pengajaran bahasa, lebih-lebih lagi bagaimana kursus-kursus bahasa diajarkan.

Sebuah deskripsi bahasa akan menyedarkan guru tentang struktur bahasa yang akan diajarkan, dan dengan itu dapat meningkatkan kualiti isi linguistik dalam kursus bahasa.

Deskripsi bahasa juga memberi guru bahasa itu suatu pengetahuan tentang unit-unit unsur seperti fonem, morfem, tagmem, dan sebagainya. Ia juga memberikan senarai struktur atau suatu sistem rumusan bagi sesuatu bahasa yang boleh digunakan dalam kursusnya.

Suatu deskripsi bahasa memberikan satu sistem rumusan yang berentetan. Ini boleh digunakan untuk membentuk bahan mengajar. Kadang-kadang rentetan itu tidaklah perlu dituruti secara rapi.

Walau bagaimanapun, ahli linguistik bukanlah memberikan teori atau
deskripsi bahasa. Linguistik hanya memberikan teknik analisis. Kedua-dua ahli linguistik dan guru bahasa menggunakan bahasa yang sama lain. Susah kita hendak menerima bagaimana sebuah bahasa itu boleh diajarkan tanpa sebuah deskripsi bahasa. walau bagaimanapun, tentu ada pula yang memerlukan penyesuaian untuk diajarkan. Pengajaran bahasa itu tentu sentiasa mempengaruhi deskripsi bahasa.
Guru bahasa memang memerlukan linguistik. Oleh itu mereka hendaklah tahu hubungannya antara linguistik dengan pengajaran bahasa. D.A. Wilkins (1972) menyatakan ada tiga jenis hubungan tersebut. Pertama, linguistik memberikan deskripsi yang lengkap tentang bahasa, tetapi tidak memberikan cara mengajar yang paling baik. Kedua, sebarang perkembangan dalam bidang linguistik itu, janganlah disalahmengertikan sebagai suatu sebab untuk membuat perubahan. Banyak daripada maklumat demikian yang akan dipakai untuk mengajarkan bahasa. tetapi seseorang guru bahasa itu hendaklah menyesuaikan maklumat tersebut untuk tujuan dan kepentingannya. Ketiga, linguistik memang mempengaruhi pengajaran bahasa, tetapi tidaklah pula selalunya begitu, tetapi biarlah dihadkan kepada keperluan semasa.

Berapa Banyakkah Pengetahuan Linguistik yang Perlu Diketahui oleh Guru Bahasa?

Mungkin ramai antara guru bahasa yang tidak begitu jelas mengetahui manfaat yang boleh mereka dapati daripada ilmu linguistik. Dengan kata lain mereka tidak mengetahui kegunaan linguistik di dalam bilik darjah. Ini bukalah kesalahan guru bahasa sahaja. Ada banyak sebab yang menimbulkan keadaan ini. Pertama, sifat ilmu linguistik itu dan banyaknya bahan tentang linguistik itu harus akan membunuh sebarang minat seseorang guru bahasa yang kurang keyakinannya terhadap linguistik. Misalnya, dalam usaha mempelajari sistem bunyi bahasa Malaysia, seseorang guru bahasa harus akan menjadi gusar, dan mungkin terus kecewa, kalau dia diberikan bahan tertulis dalam bentuk ciri-ciri pembeza. Begitu jugalah dengan deskripsi tatabahasa transformasi, nampaknya seolah-olah berbelit-belit sehingga menakutkan. Selalunya deskripsi tersebut penuh pula dengan simbol-simbol matematik. Bagi ramai guru bahasa, linguistik ini masih asing dan mereka kurang faham bagaimana tatabahasa menghubungkannya dengan tugas mengajar sehari-hari. Mereka ini perlulah diberi versi yang sudah dipermudah, supaya mereka tidak berasa begitu gusar semasa menghadapi linguistik untuk pertama kalinya.


Guru Memerlukan Linguistik Normatif
Memang perlu juga dimengertikan bahawa ada bezanya antara seorang guru bahasa dengan ahli linguistik. Seseorang ahli linguistik berhadapan dengan banyak bahasa, tetapi guru bahasa hanya terlibat dengan satu bahasa sahaja, mungkin dua, kalau diambil kira bahasa kandung pelajar itu. Ahli linguistik cuba bersikap objektif dan saintifik dalam menganalisis data daripada sesuatu bahasa, tetapi seseorang guru bahasa hanya mengajarkan bentuk dan norma baku bahasa itu. Jadi, guru lebih rapat berhubung dengan aspek normatif bahasa itu daripada aspek deskripsinya. Perbezaan-perbezaan ini seharusnya membawa perhubungan yang saling melengkapi antara guru dengan ahli linguistik. Guru bergantung pada ahli linguistik untuk mendapatkan bahannya, dan ahli linguistik mengharapkan guru menggunakan hasil deskripsi bahasa yang dibuatnya. Tetapi kita hendaklah juga sedar, seperti kata Wilkins (1972), bahawa seorang guru yang cukup matang dalam tatabahasa tradisi mungkin mendapati bahawa deskripsi bahasa yang dibuat oleh ahli linguistik moden itu mengecewakan. Dia mungkin tidak akan mendapat satu pun pengetahuan hal yang sama dalam bentuk dan ungkapan baharu. Linguistik hanya mengambil jalan lain untuk menuju tempat yang sama. Memang ada banyak hal baharu yang terdapat dalam linguistik, tetapi tatabahasa tradisi juga mungkin dapat memberikan maklumat yang sama. Kita haruslah dapat bergerak bersama-sama perkembangan, dan ini adalah satu daripada perkembangan yang menuntut penyertaan kita. Sebenarnya, sebagai yang kita akan bincangkan kelak, linguistik memang mempunyai kegunaan positif yang banyak.

Linguistik Gunaan
Oleh sebab kesukaran ini, dan juga dalam usaha menentukan bidang linguistik yang diperlukan oleh guru bahasa, maka terdapatlah beberapa buah buku yang dikarang oleh ahli linguistik bertujuan khusus untuk menyelesaikan masalah tersebut, misalnya: B Arthur (1973), M.A.K. Halliday et al. (1973), M. Kehoe (1968), P. Strevens (1977), K.C. Diller (1971), Lim Keat Boey (1975), dan lain-lain lagi. Ada banyak kegunaan linguistik dalam mengajarkan bahasa. bidang inilah yang dikenali sebagai linguistik gunaan. Deskripsi sesuatu bahasa itu bolehlah menjadi bahan mengajar. Memang kadang-kadang bahan tersebut tidak berbeza isinya daripada tatabahasa tradisi. Tetapi memang tidak boleh disangkal bahawa salah satu daripada sumbangan linguistik ialah memberi pandangan baharu terhadap pengajaran bahasa. jadi, gunanya linguistik itu ialah memberi maklumat dan analisis yang dihasilkan daripada deskripsi sesuatu bahasa tersebut, untuk dimanfaatkan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa.

Linguistik Adalah Bahan Mata Pelajaran
Apa yang jelas ialah seseorang guru itu hendaklah mempunyai pengetahuan yang cukup tentang mata pelajaran yang diajarkannya. Seorang guru matematik mesti mengetahui matematik pada peringkat yang hendak diajarkannya. Jadi, dengan alasan yang sama, seorang guru bahasa memerlukan deskripsi bahasa tersebut, termasuklah sebarang penjelasan dan cara sistem bahasa itu berlaku untuk dijadikan bahan mengajar. Inilah yang dikatakan tatabahasa pedagogi. Sebenarnya kita boleh juga menentukan pengetahuan linguistik yang diperlukan sekiranya kita tahu rancangan bahasa yang akan diajarkan itu. Sesiapa yang mengajar pertuturan hendaklah mengetahui sistem bunyi bahasa tersebut. Memang patut juga guru bahasa itu mengetahui seluruh deskripsi bahasa itu. Dia juga perlu tahu teori-teori linguistik yang akan berguna baginya semasa mengajar. Misalnya, di Malaysia, seorang guru bahasa itu perlu juga mengetahui deskripsi bahasa kandung pelajar itu, seperti bahasa Cina dan India, atau sebarang bahasa atau dialek yang berkenaan. Mengajar bahasa sebagai bahasa kedua memerlukan guru mengetahui masalah pelajar. Ini hanya boleh dicapai sekiranya guru mengetahui kebiasaan bahasa pelajar. Jadi, bukan ilmu linguistik sahaja yang perlu diketahui oleh seseorang guru bahasa itu, ada aspek lain yang juga penting bagi guru. Linguistik sahaja tidak akan dapat membentuk guru bahasa yang baik. Juga tidaklah dapat ditentukan nisbah antara linguistik dengan perkaedahan. Apa yang jelas ialah bahawa linguistik itu adalah penting dalam melatih guru bahasa.

Apakah Jenis Linguistik yang Diperlukan?
Soalan ini mengingatkan saya kepada suatu iktibar yang diberikan oleh seorang peserta dalam Persidangan Linguistik di Stockholm pada tahun 1963. Dia berkata, ‘... perancang persidangan mengingatkan bahawa linguistik ini boleh dibahagi dengan senang kepada bahagian-bahagiannya seperti ulas-ulas sebuah limau’. Kalau dia memilih buah lain sebagai bandingannya, mungkin akan terdapat persidangan yang lain dengan perhubungan dan kesimpulan yang berlainan pula. Iktibar ini baik. Ada banyak teori linguistik; dan kita hendaklah mengetahui teori yang hendak diambil untuk pengajaran bahasa. Kalau kita perluaskan iktibar yang sama, guru bahasa hanya perlu mendapatkan sesuatu faedah daripada teori itu, dan jangan terlalu bimbang tentang apa teorinya. Misalnya, kita tidak perlu bimbang tentang apa jenis buah yang kita makan. Kita hanya perlu mengambil yang baik sahaja daripada setiap buah itu. Mungkin inilah sikap yang paling mudah boleh dipegang oleh seseorang guru bahasa itu, dan tidak perlu berasa lemas kerana ada terlalu banyak teori linguistik itu.
Memang hal ini tidak semudah itu apabila kita berhadapan dengan linguistik. Ada banyak teori linguistik tetapi bukan semuanya telah diterapkan sepenuhnya untuk kegunaan guru. Misalnya, dalam bidang analisis dan deskripsi, linguistik amat tidak memuaskan. Secara ringkas dapat saya katakan selain jenis deskripsi tradisional, tidak banyak terdapat deskripsi dan penjelasan tentang mana-mana bahasa telah dijalankan dengan lengkap untuk diambil dan digunakan oleh guru. Ini perlu dijelaskan lagi, tetapi sebelum itu perlulah diberi sedikit definisi linguistik dan jenis-jenis teori yang wujud sekarang.
Linguistik bolehlah didefinisikan sebagai kajian saintifik tentang bahasa (J. Lyons 1968: 1). Istilah ‘saintifik’ itu bermaksud bahawa dia menggunakan eksperimen terkawal yang mengandungi faktor-faktor variabel yang telah ditentukan dengan secara objektif. Perkaedahannya juga diterangkan supaya hasilnya dapat diberi verifikasi. Jadi, kajian saintifik ini hendaklah empirikal, khusus, dan objektif (F. Dinneen 1967:4). Ini bermaksud bahawa linguistik itu adalah satu bidang ilmu yang lengkap dengan teori dan perkaedahannya, dan ketepatan hasilnya boleh diuji. Jadi, bidang linguistik tidaklah merupakan sesuatu yang hanya dihasilkan menurut agakan, tekaan atau emosi seseorang penulis sahaja.

Guru Memerlukan Pendeskripsian Bahasa
Ungkapan Dinneen (1967) dalam mendefinisikan bahasa, amatlah sesuai digunakan di sini. Dia mengatakan bahawa deskripsi bahasa itu pada asasnya adalah bunyi-bunyi yang boleh dideskripsikan secara linear dan sistematis. Ini berlaku semasa membentuk gabungan bunyi-bunyi yang mungkin dan dalam membentuk gabungan unsur-unsur yang bermakna dalam sesuatu bahasa itu. Guru bahasa memang telah lama bergantung pada deskripsi bahan yang demikian untuk menjalankan tugasnya sebagai guru di dalam bilik darjah. Tidak ada guru yang akan dapat mengajarkan bahasa tanpa pengetahuan deskripsi linguistik bahasa itu. Walau bagaimanapun, deskripsi demikian tidak boleh dikatakan sesuai dengan ilmu linguistik moden sahaja. Deskripsi bahasa itu dalam bentuk tatabahasa tradisi boleh juga digunakan, sebagai yang telah lama berlaku.
Dalam mendefinisikan teori-teori linguistik ini, kita tidak bermaksud untuk hanya mengemukakan model-model deskripsi linguistik yang utarakan oleh beberapa mazhab linguistik sahaja. Kita patut juga menerima deskripsi dan penjelasan yang diterbitkan oleh ilmu linguistik secara umumnya. Kita akan melihat contoh yang dimaksudkan. Contoh deskripsi yang paling popular ialah deskripsi struktur yang dijalankan dalam tahun 50-an. Mazhab ini dianggap sebagai mazhab struktur deskriptif, dan dipelopori oleh sarjana-sarjana seperti L. Bloomfield, C.F. Hockett, h.a. Gleason, Z. Harris, R.H. Robinss, F.R. Palmer, dan lain-lain. Mazhab ini telah banyak mengeluarkan deskripsi bahasa. Setakat ini sebenarnya mazhab inilah yang menghasilkan deskripsi bahasa yang agak lengkap dengan erti kata bahawa deskripsi itu meliputi semua aspek bahasa. ini termasuklah fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis, dan leksikon. Bahan bahasa yang sudah dianalisis ini bolehlah disifatkan sebagai menjadi bahan untuk mengajarkan bahasa. bahan demikianlah yang dihasilkan oleh ramai sarjana linguistik. Seorang ahli linguistik sahaja tidak mungkin berbuat demikian. Misalnya, untuk bahasa Malaysia sudah terdapat kajian seperti The Malay Sound System oleh Yunus Maris (1980), The Morphology of Malay oleh Abdullah Hassan (1974), The Malay Phonology and Morphology oleh Farid Onn (1976), Bahasa Malaysia Syntax oleh Nik Safiah Karim (1978), dan The Syntax of Interrogatives oleh Mashudi Kader (1981). Di samping buku deskripsi tatabahasa bahasa Malaysia ini terdapat pula beberapa buah kamus seperti Kamus Dewan (1970/1981), Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah Hj. Omar (1980). Mengajar Tatabahasa oleh Arbak Othman (1985), Penerbitan Kata dalam Bahasa Malaysia oleh Abdullah Hassan (1986), dan Tatabahasa Dewan Jilid I: Ayat oleh Nik Safiah Karim et al., (1986). Hanya bahan yang meliputi semua aspek bahasa, bunyi, tatabahasa, dan makna seperti inilah yang dapat dianggap berguna dalam pengajaran bahasa. dalam hal ini, hasil dua tiga orang ahli linguistik mungkin diperlukan untuk mendapatkan deskripsi yang lebih lengkap tentang sesuatu bahasa itu.

Tatabahasa Jenis Lain
Di samping jenis deskripsi ini ada banyak teori dan model deskripsi bahasa, seperti, Tagmemik (K.L. Pike 1954, 1958 dan W.A. Cooks 1969), Tatabahasa Tingkatan (S.M. Lamb 1966), Tatabahasa Kasus (J. Anderson 1971), Glosematik (J. Uldall 1930), Tatabahasa Skala dan Kategori (M.A.K. Halliday 1961), dan Tatabahasa Generatif (N. Chomsky 1957, 1964, J.J. Katz & P.M. Postal 1964), dan lain-lain. Baru-baru ini ada pula Tatabahasa Hubungan. Apa sahaja teori atau model deskripsi bahasa ini, ia mestilah mampu mendeskripsikan seluruh bahasa itu sebelum hasilnya dapat dianggap berguna untuk pengajaran bahasa. untuk berbuat demikian tatabahasa itu bukan hanya sekadar mampu menunjukkan perbezaan-perbezaan antara struktur ayat ayang pada permukaannya nampak serupa, tetapi juga menunjukkan persamaan struktur sintaksis yang pada permukaannya kelihatan berbeza. Memang ada beberapa teori moden yang nampaknya banyak mempunyai kebaikan atau gunanya dalam pengajaran bahasa. Tetapi malangnya kebanyakan teori baharu ini hanya membuat deskripsi tentang sebahagian atau aspek kecil sesuatu bahasa itu sahaja. Tidak ada yang menghasilkan deskripsi yang lengkap tentang mana-mana bahasa. Tatabahasa transformasi generatif yang amat popular itu pun tidak pernah mendeskripsikan mana-mana bahasa dengan lengkap. Oleh yang demikian kita hanya berbincang tentang kemungkinan penggunaan bahan-bahan demikian sahaja. Walaupun demikian kemungkinan terapannya agak jelas juga daripada contoh-contoh terhad yang diberikan. memang benar antara mode ini, tatabahasa transformasi generatif, dan tatabahasa mazhab Inggeris itu menunjukkan kemungkinan kegunaan yang berlebih sedikit, tetapi masih belum diusahakan sepenuhnya.
Mungkin agak sesuai tatabahasa transformasi generatif dijadikan dasar kepada latihan mengajarkan struktur. Rumus penerbitan ayat-ayatnya adalah tersusun. Walau bagaimanapun, mengajarkan sebutan dengan berpandukan ciri-ciri pembeza memang tidak akan memudahkan guru atau pelajar. Halliday juga ada menyusun bahan mengajarkan bahasa Inggeris berdasarkan teori mazhab Inggeris yang menunjukkan kemampuan yang tinggi. Kemungkinan kegunaannya memang baik, seperti yang disebut di atas tadi. Teori deskripsi yang baharu ini menunjukkan beberapa kebaikan berbanding dengan deskripsi lama bahasa-bahasa, tetapi tidak ada antara model ini yang pernah mendeskripsikan keseluruhan bahasa.
Dalam mencadangkan penggunaan linguistik dalam pengajaran bahasa, kita hendaklah faham tentang arah penerapan tersebut. Wilkins (1972) dan Roulet (1975) telah menunjukkan bahawa hubungan ini hendaklah berlaku dalam dua arah; linguistik bolehlah mempengaruhi pengajaran bahasa, dan sebaliknya pengajaran bahasa hendaklah juga mempengaruhi linguistik.

Deskripsi Tatabahasa Perlu Tuntas
Agak sukar juga bagi seorang ahli linguistik yang bukannya seorang guru menentukan jenis model linguistik yang diperlukan oleh seseorang guru bahasa. Yang jelas ialah guru itu terpaksa memilih deskripsi dan pernyataan tatabahasa yang paling lengkap. Deskripsi yang hanya sebahagian tidaklah akan berguna sangat. Deskripsi ini tidaklah pula selalunya boleh digunakan tanpa sebarang penyesuaian. Misalnya, pengajaran bahasa bolehlah memakai hasil deskripsi linguistik seperti suatu rumusan tatabahasa. Kita tidaklah perlu mementingkan sangat sama ada kita mengatakan bentuk pasif dalam bahasa Malaysia itu ialah “Apabila objek penderita menjadi subjek penderita atau FN1 + me + KK + FN2 ® FN2 + di + KK + oleh + FN1.” Yang pentingnya ialah Ali memukul anjing menjadi Anjing dipukul oleh Ali. Dengan itu memang ada faedahnya jikalau seseorang guru bahasa itu mempunyai pengetahuan linguistik walaupun sedikit supaya dia dapat memilih apa yang baik antara model deskripsi bahasa tersebut, sama ada tatabahasa tradisi, tatabahasa transformasi, tatabahasa tagmemik, tatabahasa skala-dan-kategori, tatabahasa kasus, atau tatabahasa hubungan, dan sebagainya.

Hasil Penyelidikan Perlu Disesuaikan untuk Pengajaran
Walau bagaimanapun, memang betul, apa yang dihasilkan oleh ahli linguistik itu mungkin tidak merupakan apa yang diperlukan oleh guru bahasa. begitu juga, apa yang difikirkan dasar oleh seorang ahli linguistik, mungkin tidak menjadi dasar kepada guru bahasa. yang jelas ialah, hasil deskripsi linguistik itu hendaklah disesuaikan. Dalam penerapannya banyaklah isu yang boleh dibangkitkan, misalnya, teori pemerolehan bahasa, sosiolinguistik, dan sebagainya (Roulet 1975). Hal-hal ini juga amat penting dalam pengajaran bahasa.

Kesimpulan
Dalam bab ini kita telah meninjau sedikit tentang bagaimana teori dan deskripsi bahasa dapat membantu pengajaran bahasa. tetapi, kalaulah seorang guru itu telah belajar atau didedahkan kepada sistem bunyi, tatabahasa, dan struktur makna dalam bahasa Malaysia, masih belum terjamin yang dia akan menjadi guru bahasa Malaysia yang biak. Untuk menjadi seorang guru yang baik, diperlukan banyak sifat dan pengetahuan yang lain, seperti bahan mengajar, motivasi pelajar, kaedah, persekitaran yang mendorong, sikap yang sihat, alat bantu, dan sebagainya. Setiap satu hal ini sama pentingnya. Pengetahuan linguistik bahasa Malaysia itu akan menjadi alat sahaja. Ini akan membolehkan kita memahami bahan yang diajarkannya itu. Agak mustahil bagi kita memahami bagaimana seorang guru itu akan dapat mengajarkan bahasa Malaysia tanpa pengetahuan sistem dan bagaimana sistem itu berlaku.
Wilkins (1972) mengatakan kita jangan harus menerima sahaja hasil linguistik dan terus mencari kegunaannya. Apa yang patut dilakukan ialah kita mengenali semua masalah pengajaran bahasa dan kemudian baru melihat jawapannya dalam linguistik. Inilah sumbangan besar linguistik kepada pengajaran bahasa, iaitu memberi maklumat tentang bahasa itu.
Kalau seorang guru bahasa itu gagal mencapai tujuan sesebuah rancangan mengajarkan bahasa itu, maka harus ada banyak sebabnya. Misalnya, kegagalan mengajarkan bahasa Malaysia di sekolah itu boleh disebabkan oleh banyak hal. Kekurangan pengetahuan linguistik memangnya menjadi satu sebab. Latihan guru bahasa Malaysia juga menjadi sebab, iaitu guru yang tidak terlatih mengajar bahasa Malaysia. Guru yang tidak mahir dalam bahasa Malaysia ditugaskan mengajarkan bahasa Malaysia. Guru-guru seperti ini tidak akan berjaya. Ada banyak sebabnya dan kita tidak harus menyalahkan mana-mana satu pihak sahaja.

Monday, March 11, 2013

KENYATAAN AKHBAR YBHG. DATO’ SRI DR. ALI BIN HAMSA KETUA SETIAUSAHA NEGARA MAJLIS PERDANA PERKHIDMATAN AWAM TAHUN 2013 PADA 11 MAC 2013

Berikut adalah kenyataan akhbar KSN berkaitan pengumuman PM pada perjumpaan 11 Mac 2013 yang lalu. Sila klik di sini

Kakitangan awam dapat durian runtuh lagi



Sebelum ini, CUEPACS telah memaklumkan bahawa pihak mereka sangat berharap terhadap pengumuman yang dinanti-nantikan oleh kakitangan awam yang melibatkan tuntutan yang dikemukakan oleh kesatuan itu sepanjang tahun lalu. Antaranya membabitkan kadar kenaikan elaun tetap dan elaun perumahan, semakan kenaikan gaji maksimum, kenaikan gred dan penambahbaikan sistem perkhidmatan sekarang berikutan pembatalan SBPA.
Berita baik yang ditunggu-tunggu oleh kebanyakan kakitangan awam di negara ini telahpun diumumkan dalam Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ketiga Belas sebentar tadi.


Berikut adalah antara intipati kandungan ucapan/pengumuman yang telah disampaikan kepada kakitangan awam di negara ini:
  1. Kelayakan masuk minimum ke perkhidmatan awam ditambah baik, iaitu kelayakan Penilaian Menengah Rendah (PMR).
  2. 22 Skim perkhidmatan dari Gred 1 hingga 10 dinaik taraf kepada gred gaji kelayakan masuk PMR. Antara jawatan yang terlibat termasuklah Pembantu Am Pejabat, Pemandu Kenderaan dan Tukang K3. Penambahbaikan ini dijangka selesai sebelum akhir tahun ini. Seramai 166,541 penyandang terima manfaat dari segi laluan kerjaya dan kenaikan gaji.
  3. Kerajaan bersetuju menambah baik urusan kenaikan pangkat kumpulan pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat kumpulan pelaksana dengan memendekkan tempoh kenaikan pangkat berdasarkan tempoh khidmat daripada 15 tahun kepada 13 tahun. Penambahbaikan ini adalah berasaskan kecemerlangan yang akan memberi manfaat kepada lebih 17,000 penjawat awam.
  4. Kerajaan juga setuju meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat, iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.
  5. Berkuatkuasa 1 Januari 2013, semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak tiga kenaikan (3 KG). Kenaikan itu membabitkan 182,434 penjawat awam yang berada pada paras gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat menikmati KGT. Ini membolehkan pegawai yang berada pada gaji maksimum mendapat kenaikan gaji.
  6. Memahami permasalahan dalam Skim Saraan Malaysia (SSM), kadar KGT Gred 1 hingga 11 dan gaji gred naik pangkat tidak dapat tampung kenaikan pangkat, kerajaan bersetuju buat tambah baik sebelum akhir 2013 berpandukan prinsip saraan sejagat iaitu kadar upah untuk kerja relativiti dan prioriti (keutamaan) perkhidmatan serta “pay for performance”. Mengambilkira kepada usaha penambahbaikan tersebut hanya dapat diselesaikan sebelum akhir tahun ini. Kerajaan setuju beri semua penjawat awam menerima faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai 2013. Ini membolehkan setiap penjawat awam terima antara RM80 hingga RM320. Ia membabitkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion.
  7. Kakitangan awam yang berada pada gaji maksimum, tidak mendapat pelarasan gaji atau tiada semakan dibuat, kerajaan setuju beri Pergerakan Gaji Khas sebanyak 3 peratus.
  8. Kira-kira 50,000 kakitangan awam kontrak turut mendapat perkhabaran gembira apabila Perdana Menteri mengumumkan yang kakitangan awam yang kontraknya tamat pada 31 Disember 2013 akan disambung selama setahun lagi sementara kajian menyeluruh dilaksanakan.
  9. Sistem Saraan Baru telah diumumkan yang dinamakan Sistem Saraan Transformatif (SST).

Sunday, March 10, 2013

BERITA TERKINI ...Berita baik yang ditunggu-tunggu oleh kakiytangan awam.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan sistem saraan baru perkhidmatan awam yang dikenali sebagai Sistem Saraan Transformatif (SST). Pelaksanaan SST, kata beliau, adalah berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan dan input daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.

Antara perubahan di bawah SST, kata Perdana Menteri ialah persetujuan kerajaan semua struktur gaji maksimum dalam Jadual Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT) sebanyak tiga kali berkuat kuasa 1 Januari lalu.

Perdana Menteri berkata, hal yang demikian diputuskan kerana sebanyak 182,434 penjawat awam berada di paras gaji maksimum pada 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan. Kerajaan juga, kata Perdana Menteri, bersetuju memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai ini.

"Ini bermakna setiap penjawat awam mendapat antara RM80 dan RM320 yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion," katanya ketika berucap sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MPPA XIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa; Timbalan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd. Ali; dan Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Omar Osman serta menteri-menteri Kabinet.

MPPA XIII yang bertemakan 'Transformasi Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020' dihadiri hampir 8,700 penjawat awam dari pelbagai sektor dan agensi.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga bersetuju menyambung kontrak 50,000 pegawai kontrak yang akan tamat perkhidmatan pada 31 Disember ini setahun lagi, sementara kajian menyeluruh dilaksanakan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan seramai 166,541 kakitangan dalam gred gaji 1 hingga 10 akan dinaik taraf ke gred setaraf kelayakan masuk Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Menurut beliau, perubahan itu akan memberi manfaat dari segi laluan kerjaya dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji kumpulan berkenaan.
Perdana Menteri berkata, kenaikan pangkat kumpulan pelaksana pula akan dipendekkan berdasarkan tempoh perkhidmatan daripada 15 tahun kepada 13 tahun yang akan memberi manfaat kepada 17,000 penjawat yang layak.
"Kerajaan juga secara prinsip bersetuju meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan Kemahiran Tinggi.
"Kesemuanya ini dalam menambah baik laluan kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang," katanya.

Menurut Najib, sebanyak 81 skim perkhidmatan yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan dirunding semula iaitu bagi skim perkhidmatan bakat, juruteknik, pegawai atau penolong pegawai dan pembantu galian serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2.
Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri mahu penjawat awam menguasai teknologi agar mereka kekal relevan dengan peredaran semasa kerana kemahiran komunikasi baru perlu menjadi teras kepada tugas berhadapan dengan rakyat secara langsung.

"Kehidupan hari ini dipacu oleh kepantasan, ketepatan, ketelusan dan keluasan maklumat yang diterima.
"Justeru penjawat awam perlu bersifat proaktif melakukan penyebaran maklumat bersandarkan ketetapan tanpa melanggar peraturan agar sistem pentadbiran tidak dikompromi keabsahannya," katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam supaya memelihara integriti bagi memastikan ketirisan wang atau maklumat yang menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku.
Katanya, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik



Wednesday, March 6, 2013

PENGURUSAN STRES DI TEMPAT KERJA

PENGURUSAN STRES DI TEMPAT KERJA
PROF. MADYA DR. ZARIDA HAMBALI
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM

1. Apa itu Stres? 
Stres atau tekanan adalah tindak balas fizikal, emosi dan mental seseorang terhadap sebarang perubahan atau tuntutan. Ia bukan penyakit. Namun begitu, jika beban tekanan adalah tinggi dan berlaku dalam jangkamasa yang panjang, ia boleh menjejaskan kesihatan. Merupakan tindak balas fizikal dan emosi yang berlaku apabila kehendak kerja tidak standing dengan kemajuan, sumber atau keperluan pekerja.

2. Adakah stres sesuatu yang bahaya?
Tidak .
Graf Stres Hans Selve  



Bila stres rendah, hasil kerjanya juga rendah kerana kurangnya motivasi dan tumpuan  kepada kerja. 
Bila stres berada di peringkat tinggi , seseorang itu akan mengalami tekanan dan  menunjukkan tanda-tanda stres 

3. Tanda & Gejala 
3.1 Fizikal 
•  Gementar 
•  Berpeluh 
•  Rasa Seram sejuk  
•  Tangan dan kaki rasa sejuk 
•  Sakit kepala atau rasa mual/nak muntah 
•  Bernafas laju 
•  Kering mulut 
•  Kerap buang air kecil 
•  Kerap buang air besar 
•  Cirit Birit 
•  Kurang selera makan 
•  Mudah dapat serangan penyakit: 
o  Asma 
o  Sakit belakang badan 
o  Masalah penghadaman 
o  Sakit kepala 
o  Gatal-gatal 
•  Masalah hubungan kelamin contoh kurang minat melakukan hubungan seksual 
•  Sakit-sakit badan 
•  Cepat letih 

3.2. Psiko logikal 
•  Kebimbangan 
•  Keliru dan kurang daya tumpuan 
•  Sukar kawalan diri 
•  Perubahan emosi: 
o  Tekanan perasaan 
o  Kekecewaan 
o  Mewujudkan permusuhan 
o  Rasa tak berdaya 
o  Kurang sabar dan cepat marah 
o  Lemah Semangat 
•  Susah nak tidur 
•  Mudah terpengaruh mengambil bahan yang terlarang seperti dadah dan arak

3.3 Gangguan Fikiran 
•  Sukar membuat keputusan 
•  Kurang minat terhadap aktiviti harian 
•  Tidak merasa tercabar terhadap situasi yang sukar 
•  Pemikiran positif terganggu disebabkan 
•  Sering berfikiran negatif 
•  Kurang memberi perhatian 
o  Hilang keyakinan diri 
o  Hilang tumpuan 
o  Penurunan kekuatan mental dalam menghadapi perasaan bingung, takut,
kecewa dan cepat marah 


3.4 Tingkah laku 
•  Bercakap dengan cepat dan kuat 
•  Menguap 
•  suka gigit jari, mengetap bibir, kerap mengerakkan jari, letih 
•  Perasaan yang negatif: 
o  Mudah tersinggung 
o  Terlalu bergantung kepada orang lain 
o  Suka memberi komen dan kritik orang lain 
o  Boleh bertindak ganas 
o  Bertindak secara tidak logik 
o  Bertindak keterlaluan dan terlalu beremosi 
•  Kurang Kecekapan diri: 
o  Mudah lupa 
o  Selalu membuat kesilapan 
o  Sering terlibat kemalangan
•  Kurang produktiviti kerja 
•  Menindakkan keupayaan diri sendiri 

4. Punca stress :
4.1. di tempat kerja
•  Jenis kerja
- kerja yang menjemukan atau kerja yang berulang-ulang
- terlalu banyak kerja dan kurang masa
•  Tanggungjawab
- tiada tanggungjawab yang jelas (konflik tugas)
- bertanggungjawab terhadap kerja lain selain kerja sendiri
•  Hubungan rakan sejawat
- komunikasi tidak berkesan
- gangguan kerja (bullying) dan gangguan seksual
•  Persekitaran yang tidak selesa
- bising, kawasan yang kotor, pencemaran, panas dan sempit ruang dan keadaan kerja yang tidak sesuai 

•  Pengurusan dan organisasi
- budaya menyalahkan pekerja
- tiada sokongan terhadap kerja seperti peralatan yang tidak lengkap kenderaan,
kurang penghargaan dan tiada insentif
- kurang sokongan untuk meningkatkan kerjaya seperti tiada kursus dan sukar
untuk naik pangkat
- tiada penglibatan dalam membuat keputusan atau polisi
-waktu kerja yang tidak fleksibel.

•  Ketidakseimbangan kerjaya dan rumahtangga

Faktor yang menyumbang kepada stres jenis ini ialah: 
o  Beban kerja yang tinggi atau terlalu kurang 
o  Dibebani oleh tanggungjawab di luar keupayaan dan pengalaman anda 
o  Menghadapi banyak rintangan yang tidak sepatutnya diselesaikan oleh anda 
o  Tekanan dari segi masa dan tarikh luput kerja yang perlu disiapkan 
o  Kurang kemampuan untuk mengikuti peredaran masa 
o  Perubahan dasar dan prosedur di tempat kerja 
o  Kurang mendapat maklumat, nasihat dan sokongan yang bersesuaian 
o  Tidak jelas tentang objektif yang hendak dicapai 
o  Tidak jelas tentang kehendak ketua terhadap peranan anda 
o  Dibebani dengan tanggungjawab terhadap orang bawahan, sumber kewangan  dan peralatan 
o  Tekanan perkembangan kerjaya seperti: 
ƒ  Dalam tempoh percubaan, kecewa dan jemu terhadap pekerjaan
sekarang 
ƒ  Kenaikan pangkat di luar kemampuan diri 
ƒ  Tidak jelas tentang perkembangan kerjaya pada masa akan datang 
ƒ  Tiada peluang kenaikan pangkat 
ƒ  Tiada jaminan pekerjaan 
o  Tekanan daripada organisasi atau pelanggan seperti 
ƒ  Tekanan dari pihak atasan 
ƒ  Campur tangan terhadap bidang tugas 
ƒ  Tuntutan berlebihan daripada pelanggan 
ƒ  Gangguan terhadap perancangan kerja 
ƒ  Gangguan telefon 
o  Tekanan atas diri sendiri dan keluarga seperti: 
ƒ  Masalah kewangan 
ƒ  Masalah hubungan dengan keluarga 
ƒ  o Penyakit yang dialami 
ƒ  o Perubahan hidup seperti kelahiran, kematian, perkahwinan dan
penceraian 

4.2 Lain-lain punca stres
a.  Stres Ancaman (survival) : 
Berlaku apabila anda berada dalam keadaan terancam sama ada dari segi emosi,
fizikal dan perasaan seperti takut untuk mengatasi ancaman yang sedang dihadapi.
b.  Stres dalam diri sendiri: 
Di mana anda adalah seorang yang mempunyai personaliti Jenis A iaitu bercita-cita
terlalu tinggi, berkehendakkan kesempurnaan dalam semua kerja, terlalu
mementingkan kerja dan mengharapkan hasil yang tinggi. .
Apabila anda terlalu mengharapkan kesempurnaan yang sukar dicapai. Lima harapan
kesempurnaan yang tidak realistik oleh seseorang itu adalah: 
o  Anda mengharapkan orang lain mengagumi dan menyayangi anda 
o  Anda menggagap diri anda kompeten setiap masa 
o  Anda mempercayai orang lain yang menyebabkan segala kegagalan anda 
o  Anda mengharapkan setiap kerja yang di hasilkan adalah sempurna yang dikehendaki oleh anda dan orang lain perlu mengikut kata-kata anda 
o  Anda mempercayai pengalaman buruk yang lepas akan mempengaruhi masa depan anda 
c.  Stres disebabkan bahan kimia dan pemakanan 
•  "Caffeine" boleh menyebabkan hormon stres dalam badan anda meningkat, sukar hendak tidur dan menyebabkan anda tidak selesa 
•  Peningkatan kandungan gula dalam darah dari pengambilan makanan yang manis dan coklat boleh memberi tenaga berlebihan kepada diri anda dalam masa yang singkat. Keadaan ini menyebabkan badan anda menghasilkan lebih banyak insulin bagi mengimbangi kandungan gula itu . Ia boleh memberi kesan ke atas penurunan tenaga yang mendadak selepas kenaikan kadar gula yang tinggi 
•  Pengambilan garam yang berlebihan boleh menyebabkan peningkatan tekanan darah dan meletakkan badan anda mengalami stres disebabkan berlebihan bahan kimia. 

5. Komplikasi
 
Dalam jangka masa panjang, stres boleh memberi kesan yang teruk kepada diri anda.
Anda perlu mengambil tindakan untuk mengatasi masalah ini, sekiranya tidak, ia akan
memberi kesan kepada diri anda seperti berikut: 
•  Mudah keletihan dan cepat penat 
•  Kekecewaan 
•  Hilang semangat ( "burn out" ) 

6. Cara mengurangkan stres
•  Mengubahsuai punca stress dengan : 
- penyelesaian masalah secara musyawarah
- perancangan kerja dengan baik
- pengurusan masa yang bijak
- berkomunikasi secara lebih berkesan
- mengubahsuai punca stress dalam organisasi seperti polisi, prosedur dan masa  yang tidak fleksibel

•   Mengelak stress dengan :
- elakkan beban kerja berlebihan
- mengetahui kemampuan sendiri
- menolak daripada membuat sesuatu yang melebihi kemampuan sendiri
- membuat kerja secara muafakat

•  Meningkatkan ketahanan diri dengan :
- mengamalkan cara hidup sihat (beriadah, makanan seimbang)
- merehatkan minda (lakukan amalan seperti senaman pernafasan dan relaksasi
otot secara progresif)
- meningkatkan ibadah (amalkan istighfar, selawat, zikir dan doa selalu)
- berfikir secara positif
- mampu (menerima kritikan dengan baik)

7.  PERUNDANGAN
•  Seksyen 15, Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994, menetapkan tugas am bagi majikan untuk menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat dan menjamin kesejahteraan pekerja. Menyediakan tempat kerja yang selamat dan sihat termasuk memastikan bahawa tiada kesan negative daripada factor-faktor seperti kebisingan, bau, pencahayaan, suhu, kelembapan, pengalihudaraan, habuk, getaran dan bahan berbahaya.

•  Majikan juga hendaklah mengamalkan budaya tempat kerja yang berkualiti seperti mengutamakan persekitaran kerja yang terbuka, mengamalkan dialog dan perhubungan secara meluas, memberi peluang samarata dan tiada diskriminasi serta memastikan penyelesaian masalah bersama. Masalah keselamatan dan kesihatan pekerjaan boleh diselesaikan oleh Jawatankuasa OSH yang ditubuhkan di bawah Seksyen 30.

•  Akta Pekerjaan 1955 mengandungi peruntukan khas bagi mengawal masa kerja termasuk hari rehat, kepanjangan masa kerja, masa rehat, kerja shift dan jumlah kerja lebih masa.


STRES DAN KESIHATAN
Prof. Madya Dr. Zarida Hambali
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM

Stres merupakan sesuatu yang positif dan juga negatif. Stres diperlukan untuk kemajuan di dalam kehidupan harian kita. Melalui keadaan  tertekan kita dapat meningkatkan keupayaan untuk menyesuaikan diri, mengatasi dan bertindak balas terhadap cabaran kehidupan.

Sebaliknya, stres memberi kesan yang tidak baik apabila ianya tidak ditangani dengan sebaik mungkin atau dilihat sebagai negatif. Pengurusan stres yang tidak sempurna akan mengakibatkan perasaan ketidakmampuan dan seterusnya menyebabkan gagal untuk meningkatkan daya ketahanan diri. 

Stres, cemas, risau dan berkelakuan agresif menunjukkan peningkatan yang ketara kebelakangan ini.  Dalam laporan yang dikeluarkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, stres dilabel sebagai ’Penyakit’ abad ke 20 dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga melaporkan bahawa stres ialah Epidemik Dunia.  Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga
menjangkakan bahawa stres merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada semua 5 penyakit utama di dunia iaitu penyakit jantung, kemurungan melampau, kemalangan jalanraya, strok dan penyakit paru-paru yang kronik menjelang tahun 2020.  Satu kajian di Amerika berkaitan stres yang melibatkan 2, 152 responden menunjukkan bahawa orang yang sentiasa mengalami stres mempunyai kebarangkalian yang tinggi untuk menghidap hipertensi, kerisauan melampau, kemurungan atau obesiti. 


Di Malaysia, Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (1996) menunjukkan  kadar prevalen kemurungan ialah pada 11 peratus, kejadian bunuh diri yang tinggi iaitu 2,000 orang setahun dengan purata 7 orang
sehari dan 13.7 peratus remaja Malaysia  khususnya pelajar menghadapi masalah kesihatan berkaitan mental.
Apa akan berlaku jika terlalu lama berada di dalam keadaan tertekan?
•  Mengurangkan daya pertahanan badan - mudah diserang penyakit
•  Menambahkan lagi keparahan penyakit yang sedang dialami
•  Menyumbang kepada wujudnya masalah kesihatan pada masa akan datang contohnya

Tekanan Darah Tinggi, Paras Kolesterol yang tinggi, Penyakit Jantung dan Penyakit  Angin Ahmar (Strok)
•  Timbul masalah psiko logikal contoh : keresahan, kemurungan, masalah pemakanan
dan masalah tidur 2  Zarida.H_Public Talks 2008/Jabatan Akaountan Negara

•  Kurang kemahiran menyelesaikan masalah mengakibatkan anda tidak mengamalkan cara hidup yang sihat, contoh: menghisap rokok, ketagihan arak, penyalahgunaan dadah dan bergaduh

7 Langkah Untuk
Mencapai Matlamat & Kejayaan 

Prof. Madya Dr. Zarida Hambali
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM

Untuk mencapai matlamat anda dan berjaya dalam kehidupan, anda mestilah membina suatu kebiasaan berdasarkan langkah-langkah yang telah terbukti keberkesanannya seperti berikut: 

1. Wujudkan Keinginan Anda Sebesar Mungkin 
-  Keinginan tersebut mestilah yang benar-benar anda idamkan. Duduk dan tulis semua keinginan anda. Nyatakan faedah-faedah dan kebaikan-kebaikan mencapai segala keinginan anda itu. Fikir dan tulislah sepuas-puasnya. 

2. Tuliskan Matlamat-Matlamat Anda 

3. Tetapkan Bila dan Tempoh Pencapaian Matlamat Anda 
TETAPKAN bila matlamat tersebut mesti anda capai. Kira dan tentukan berapa banyak masa yang anda perlukan untuk mencapai matlamat anda itu. 

4. Tangani Halangan 
1) Kenalpastikan halangan-halangan yang perlu anda atasi. 
2) Tumpukan kepada usaha mendapat bantuan; bantuan yang anda akan perlukan untuk mencapai matlamat anda - misalnya pengetahuan, pakar-pakar, penasihat-penasihat atau badan-badan tertentu.  

5. Buat Perancangan  
RANCANGKAN tindakan anda. Senaraikan semua aktiviti mengikut susunan keutamaannya. Perbaiki senarai; optimumkannya, sempurnakannya. Pesan Peter Drucker,: Cara terbaik meramal masa hadapan ialah dengan meWUJUDkannya. (The best way to predict the future is to create it).  

6. Gambarkan Kejayaan Pada Minda Anda  
"Orang yang berjaya dalam hidup adalah orang yang nampak tujuannya dengan jelas
dan menjurus kepadanya tanpa menyimpang." - Cecil B. DeMille. Kata Mahatma Gandhi: Seseorang itu adalah hasil dari fikirannya. Apa yang dia fikir, itulah yang dia akan menjadi".  

7. Baki 90% Adalah Usaha dan Keazaman Anda  
Sokong rancangan anda dengan KEAZAMAN (Resolve) dan SEMANGAT TIDAK MENGENAL PUTUS ASA (Persistence). Tekadkan semangat. Tumpukan kepada kejayaan. Bulatkan hati dan fikiran. Jangan sekali-kali berputus asa terhadap sebarang cabaran. Lakukanlah tindakan-tindakan proaktif dan produktif. Fokuskan segala perhatian
dan tenaga anda untuk mencapai segala matlamat anda pada waktu yang anda sendiri tetapkan InsyaAllah, dengan diiringi doa, keazaman, disiplin yang tinggi serta usaha gigih, anda akan mencapai apa juga matlamat yang anda ingini dan impikan.  

Untuk Mencapai Kejayaan, Anda MESTI Buat 2 Perkara! 
Pertama: TETAPKAN SATU MATLAMAT BESAR  
Kedua: MENCAPAINYA DENGAN PENUH KEBERANIAN!

 FIKIRAN POSITIF, SENTIASA POSITIF
(“THINK POSITIVE, STAY POSITIVE”)

Prof. Madya Dr. Zarida Hambali
Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan UPM


•  Berfikiran positif bermakna Anda bersangka baik dengan ikhlas, tak perlu
dipaksa-paksa. 

•  Bersangka baik dalam semua keadaan, pada semua orang dan di semua situasi
merupakan pemula kepada langkah kejayaan..

•  Sentiasa Positif / Stay Positif : Berfikir positif saja hanya 20%, tak cukup, yang selebihnya 80% tu adalah usaha positif.

•  Hasil kerja Dr. Martin Selingman – 3 P / Three P :
-  Adakah ia peribadi ? / Is it personal ?
-  Adakah ia berlarutan ? / Is it permenant ?
- popular expression “This too shall pass.  You will see the light at the end
of the proverbial tunnel”.
-  Is it the big picture ?

10 sikap dalam fikiran positif yang paling dominan :
- Optimis 
- Semangat, Minat,
- Keghairahan (passion)
- Kepercayaan (Belief)
- Integriti
- Keberanian
- Keyakinan
- Keazaman (Determination)
- Kesabaran
- Ketenangan (Calmness)
- Fokus.

•  Mengubah persepsi negatif  di dalam minda ke persepsi positif dan bagaimana untuk melatih diri Anda supaya sentiasa melihat pada nilai-nilai positif bermula hari ini :

-  Bila bangun pagi, puji 3 orang yang kita kagumi setiap hari.
-  panjatkan rasa syukur atas segala nikmat dan rahmat yang  dilimpahkan ke dalam hidup kita, yang nampak dan yang tak  nampak.
-  kawal kata-kata dalam hati dan yang terlintas di dalam minda. 

Latih diri untuk memandang pada aspek-apek positif yang wujud.
-  Buat keputusan muktamad untuk menjadi orang yang berfikiran 
positif.   Zarida.H_Public Talks 2008/Jabatan Akauntan Negara  2
-  Selalu bersangka baik pada semua orang, semua keadaan situasi, 
perkara, benda dan apa saja.

Anda tidak sedar semua kelebihan diri Anda kerana Anda tidak pernah mencuba sampai mana tahap pencapaian Anda, setakat mana sempadan diri Anda.

"WE all are limitless”

We limit ourselves by thinking we can't do, and keep
telling this to ourself, in our MIND that we cant do!

We are what we think
all the time. If you think you CAN'T do, so be it". 

ucapkan ayat ini dengan cukup kuat….
I'll Do What It Takes Till I Touch The Sky.


-  Tulis matlamat Anda dan selepas itu tanya diri Anda
apa yang Anda boleh lakukan untuk mencapainya.

-  Tanya diri Anda bila Anda mahu mencapainya?