Saturday, February 1, 2014

GARIS PANDUAN PENGENDALIAN KES SALAH LAKU MURID

Masalah disiplin di sekolah sering menjadi bahan perbualan. Tindakan guru-guru mengambil tindakan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin kerap dipertikaikan oleh ibu bapa. Masalah salah laku di kalangan pelajar adalah merupakan salah satu perkara yang mendatangkan kesan tidak baik kepada pihak sekolah khususnya dan masyarakat secara amnya.

Jika perkara seperti ini tidak dapat dibendung dengan segera, ia mungkin akan mendatangkan
kesan yang lebih buruk lagi kepada negara kita. Menurut kajian yang dijalankan oleh Wan Yusoff (2002) mendapati bahawa ibu bapa dan guru-guru sekolah menganggap masalah salah laku sebagai masalah disiplin nombor satu di sekolah.

Tujuan disiplin bukan semata-mata untuk mengenakan hukuman ke atas pelajar tetapi dalam pengertian yang lebih meluas disiplin adalah bertujuan untuk membantu pelajar belajar dengan lebih selesa, berinteraksi dengan kawan-kawan dengan lebih mesra serta membantu mereka agar lebih terarah dan bertanggungjawab. Pelajar akan mematuhi disiplin sekiranya ia bertujuan untuk membantu mereka mencapai kejayaan tetapi sebaliknya akan menolak disiplin sekiranya ia dipaksa dan bertujuan menghukum mereka. Duke dan Canady dalam Mohd Ismail (2006: 6) menyatakan:

“ In schools where the headteachers emphasized punishments rather more than rewards, pupil’s
progress tended to be inhibited:the greater the number of punishments listed, the more negative
were the effects. In contrast, whenever the number of rewards exceeded the number of
punishments, progress was greater’.

 Mengikut pekeliling dan peraturan sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, salah laku
pelajar boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu kesalahan berat, kesalahan sederhana dan kesalahan ringan. Di antara contoh-contoh kesalahan berat di sekolah ialah membawa. menyimpan atau menghisap dadah, bergaduh, biadap terhadap guru dan lain-lain.

Kesan daripada masalah disiplin pelajar yang semakin meningkat saban tahun menyebabkan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pekeliling Peraturan Dan Hukuman 2002, melaksanakan beberapa peraturan dan hukuman yang setimpal bertujuan untuk membendung segala salah laku pelajar daripada terus berleluasa. Di antara hukuman yang dilaksanakan oleh pihak kementerian melalui pihak sekolah ialah hukuman rotan, gantung sekolah, buang sekolah, surat amaran, denda, tahanan dan lain-lain yang bersesuaian.

Garis panduan pengendalian kes salah laku murid yang perlu dipatuhi .

1.    Pihak sekolah perlu mengambil perhatian perkara-perkara berikut supaya kes salah laku murid di sekolah dapat dikendalikan tanpa menimbulkan keraguan daripada mana-mana pihak.
1.1.  Setiap tindakan dan hukuman yang dikenakan ke atas murid hendaklah mengikut  peraturan serta garis panduan yang disediakan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Tindakan dan hukuman tersebut hendaklah direkodkan dan sentiasa dikemas kini.
1.2.  Mengumumkan pelantikan guru disiplin kepada warga sekolah khususnya murid.
1.3.  Hukuman yang dikenakan ke atas murid perlu bersifat mendidik. Hukuman tersebut mestilah tepat, adil, setimpal, tidak mendera dan tidak menjatuh maruah murid. Proses kaunseling hendaklah dilaksanakan ke atas murid sama ada sebelum atau selepas menerima sebarang hukuman.
1.4. Buku Peraturan Sekolah hendaklah menyatakan dengan jelas unsure dan jenis hukuman supaya murid dan ibu bapa memahami operaturan-peraturan yang diguna pakai di sekolah.
1.5. Unsur provokasi yang memberi kesan negatif sama ada dalam bentuk pergerakan anggota tubuh badan ataupun kata-kata hendaklah dielakkan dalam membuat arahan kepada murid.
1.6.  Bagi kes salah laku ringan dan sederhana yang berlaku di sekolah hendaklah diselesaikan di peringkat sekolah. Walau bagaimanapun sekiranya kes tersebut melibatkan pihak luar maka hendaklah diselesaikan secara permuafakatan( Ibu bapa/ Penjaga/ PIBG / JKKK / Persatuan Penduduk / Pegawai Perhubungan Polis dan lain-lain yang berkaitan)
1.7.  Kes salah laku berat seperti melibatkan senjata, gangstarisme, kongsi gelap, dadah atau berupa ancaman keselamatan kepada guru, murid-murid dan warga sekolah yang lain hendaklah dilaporkan kepada polis.

2.    Pertimbangan asas dalam menentukan sebarang hukuman ke atas murid:

2.1. Beratnya kesalahan : Lebih serius salah laku itu, maka beratlah hukuman yang akan dikenakan. Beratnya hukuman yang dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
2.2. Perwatakan dan latar belakang murid : Perwatakan, sejarah dan latar belakang murid yang melakukan salah laku disiplin perlu diteliti sebelum diputuskan sebarang hukuman.
2.3. Kekerapan kesalahan : Lebih kerap salah laku murid atau lebih bersungguh-sungguh murid itu melakukannya maka lebih beratlah hukuman ke atas murid berkenaan.

      3.0 Pengetua dan Guru Besar hendaklah mematuhi serta mengikut prosedur berikut sebelum hukuman dilaksanakan.
3.1. Membuat siasatan yang menyeluruh dan teliti ke atas murid serta pihak lain yang terlibat setelah menerima aduan salah laku murid. Siasatan ini perlu dibuat untuk memastikan kebenaran aduan murid. Jika aduan itu benar, perkara- perkara berikut hendaklah disediakan :
3.1.1. Laporan siasatan
3.1.2. Pengakuan bertulis daripada murid berkenaan dan saksi
3.1.3. Bukti yang cukup; dan lengkap
3.2. Memaklumkan kes salah laku murid kepada ibu bapa / penjaga.
3.3. Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin / Lembaga Disiplin Sekolah hendaklah dilaksanakan untuk meneliti setiap kes salah laku murid. Pengetua / Guru Besar hendakalah menilai laporan Jawatankuasa Disiplin / Lembaga Disiplin Sekolah dan membuat kesimpulan untuk menentukan sama ada kes tersebut bersabit ( wujud “prima facie”) atau tidak.
3.4. Jika wujud “prima facie”,pertuduhan hendaklah dibacakan dan surat pertuduhan hendaklah diberikan kepada murid yang terlibat. Murid diberi peluang untuk menjawab kebenaran pertuduhan terhadapnya.
3.5. Jika murid menafikan tuduhan tersebut maka hendaklah diberi peluang kepadanya untuk membela diri dan memberi bukti bahawa tuduhan yang dihadapkan kepada beliau tidak betul.

3.6. Pengetua / Guru Besar membuat keputusan.
3.6.1. Jika murid dapat membuktikan bahawa tuduhan yang dihadapkan itu tidak betul atau dia tidak bersalah, Pengetua / Guru Besar hendaklah membuat keputusan bahawa murid berkenaan tidak bersalah dan tiada hukuman ke atas murid berkenaan.
3.6.2. Jika murid itu mengaku bahawa dia bersalah atau terbukti dia bersalah, Pengetua / Guru Besar hendaklah mengenakan hukuman ke atas murid berkenaan.

      4.0 Hukuman yang boleh dikenakan ke atas murid yang melakukan slaah laku adalah seperti berikut :
4.1. Hukuman biasa : rotan, denda, amaran dan penahanan.
4.2. Gantung persekolahan
4.3. Gantung asrama
4.4. Buang asrama
4.5. Buang sekolah
  
      5.0 Sekolah perlu memastikan perkara-perkara berikut dilaksanakan bagi melicinkan pengurusan kes salah laku murid.
5.1. Ibu bapa / penjaga murid hendaklah dimaklumkan secepat mungkin setiap kes salah laku anak mereka.
5.2. Pihak sekolah hendaklah memanggil ibu bapa / penjaga murid yang dikenakan tindakan gantung sekolah, gantung asrama, buang asrama atau buang sekolah untuk menyerahkan anaknya. Sekolah bertanggungjawab menghantar murid ke rumah jika ibu bapa / penjaga tidak hadir ke sekolah khususnya bagi murid yang tinggal di asrama.
5.3. Pihak sekolah mestilah tegas dan adil dalam mengendalikan kes salah laku murid. Setiap murid yang melakukan kesalahan mestilah dihukum. Setiap hukuman yang dikenakan ke atas murid hendaklah mengikut tatacara yang betul.
5.4. Pengetua / Guru Besar sahaja yang boleh menggantung atau buang sekolah dan surat-surat bagi hukuman tersebut mestilah ditandatangani oleh Pengetua / Guru Besar.
5.5. Semua surat yang dikeluarkan oleh sekolah berkaitan kes salah laku murid ini mestilah jelas dan tepat maksudnya supaya tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
5.6. Pihak sekolah perlulah mengadakan permuafakatan dengan PIBG, Polis Diraja Malaysia (PDRM), pemimpin setempat dan pihak-pihak lain yang berkaitan supaya kes salah laku murid sekolah dapat ditangani secara holistik.
5.7. Jawatankuasa Disiplin Murid dan Jawatankuasa Tadbir / Disiplin Asrama hendaklah berfungsi sepenuhnya dalam pengendalian kes salah laku murid di sekolah. Jawatankuasa PIBG sekolah hendaklah menjadikan isu disiplin murid sebagai satu agenda dalam mesyuarat dan perbincangan.

      6.0 Pihak sekolah perlu menyediakan dokumen dan perkara-perkara berikut agar kesahihan hukuman ke atas murid yang melakukan salah laku tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.

6.1. Rekod Salah Laku Murid / Sistem Salah laku Disiplin Murid (SSDM)
6.2. Perancangan Strategik Peningkatan Disiplin Murid
6.3. Buku Peraturan Sekolah
6.4. Rekod Kehadiran Murid
6.5. Buku Catatan Kehadiran Murid Dalam Kelas / Diari Kelas
6.6. Laporan Guru Bertugas
6.7. Buku Catatan / Laporan Perhimpunan Sekolah.
6.8. Buku Catatan Pengumuman Sekolah
6.9. Rekod Perkhidmatan Kaunseling Murid
6.9.1. Catatan / Maklumat berkaitan panduan dan tatacara keselamatan murid semasa di sekolah atau mengikut aktiviti murid di luar sekolah.

      7.0 Dalam melaksanakan tugas dan tanggungjwab di atas, Pengetua / Guru Besar dan semua guru hendaklah sentiasa merujuk kepada buku dan dokumen berikut :
7.1. Akta Pendidikan
7.2. Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-peraturan Pelajaran ( Disiplin Sekolah) 1959.
7.3. Panduan Tatacara Disiplin Untuk Guru Besar dan Guru, Kementerian Pelajaran Malaysia, DBP, Kuala Lumpur, 1988.
7.4. Panduan Mengatasi Masalah Ponteng Di Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1994.
7.5. Surat-surat Pekeliling Ikhtisas Berkaitan Disiplin dari tahun 1968 hingga sekarang ( yang masih berkuatkuasa )

      8.0 Pihak sekolah bertanggungjawab melaporkan kes salah laku murid ( khususnya kes berat ) kepada Pejabat Pelajaran Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.
8.1. Laporan lisan sebagai maklumat awal
8.2. Laporan rasmi pada hari pertama. Ketiga dan ketujuh menggunakan Borang PKP 04-3 ( 1-3-7 )


Unit Hal Ehwal Murid .
SK KAMPONG BUKIT CHENDERING 


Wednesday, January 22, 2014

Mesyuarat Majlis Guru Besar Terengganu

Tarikh : 23 Januari 2014
Masa : 9.00 pagi - 12.00 Tengah hari
Tempat : Bilik Mesyuarat SK Kampong Bukit Chendering
Kehadiran : 30 orang

SOALAN LAZIM KURIKULUM STANDARD SEKOLAH RENDAH (KSSR)


Mengapakah KSSR diperkenalkan?

Jawapan :

KSSR diperkenalkan sebagai satu usaha menyusun semula dan menambah baik kurikulum sedia ada untuk memastikan murid dibekalkan dengan pengetahuan, kemahiran dan nilai yang relevan untuk memenuhi keperluan semasa serta menghadapi cabaran abad ke-21.

Apakah maksud Kurikulum Standard?
Jawapan :

KSSR digubal dalam bentuk pernyataan standard. Pernyataan standard terdiri daripada standard kandungan dan standard pembelajaran yang  perlu dicapai oleh murid dalam suatu tempoh dan tahap persekolahan. Standard Kandungan dan Standard Pembelajaran didefinisikan seperti berikut:

- Standard kandungan ialah penyataan spesifik tentang perkara yang murid patut ketahui dan boleh lakukan dalam suatu tempoh persekolahan merangkumi aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai.

- Standard Pembelajaran ialah satu penetapan kriteria atau petunjuk (indicator) kualiti pembelajaran dan pencapaian yang boleh diukur bagi setiap standard kandungan.

Apakah perbezaan KSSR dengan KBSR?

Jawapan : 
KSSR
 KBSR
Reka bentuk kurikulum berasaskan 6 Tunjang:
• Komunikasi
• Kerohanian, Sikap & Nilai
• Kemanusiaan
• Perkembangan Fizikal & Estetika
• Sains dan Teknologi
• Keterampilan Diri
Reka bentuk kurikulum berasaskan 3 Bidang:
• Komunikasi
• Manusia dan Alam Kelilingnya
• Perkembangan Diri Individu
Bahan Kurikulum:
• Dokumen Standard Kurikulum
Bahan Kurikulum:
• Sukatan Pelajaran
Reka bentuk kurikulum:
• Modular
Reka bentuk kurikulum:
• Linear
Organisasi Kurikulum:
Tahap I  (Tahun 1, 2 & 3)
• Modul Teras Asas, Modul Teras Tema & Modul Elektif

 Tahap II   (Tahun 4, 5 & 6)
• Mata pelajaran Teras & Elektif
Organisasi Kurikulum:
Tahap I (Tahun 1, 2 & 3) dan 
• Mata pelajaran Teras, Wajib & Tambahan

Tahap II (Tahun 4, 5 & 6)
• Mata pelajaran Teras, Wajib & Tambahan
Elemen Kreativiti dan Inovasi, Keusahawanan dan Teknologi  Maklumat & Komunikasi (TMK) secara eksplisit
Elemen Kemahiran Berfikir Secara Kritis dan Kreatif
Fokus:
4M (Membaca, Menulis, Mengira dan Menaakul)
Fokus:
3M (Membaca, Menulis dan Mengira)
   
Adakah terdapat perubahan mata pelajaran dalam KSSR Tahap Satu?
Jawapan :

Ya. Dalam KSSR Tahap Satu, terdapat  beberapa mata pelajaran baru di samping penggabungan semua disiplin ilmu dalam bentuk Modul Teras Asas, Modul Teras Tema dan Modul Elektif untuk pengurusan kurikulum yang lebih berkesan.
   
Mengapakah Modul Teras Tema diperkenalkan?

Jawapan :

Modul Teras Tema diperkenalkan untuk mengurangkan bilangan mata pelajaran di tahap satu.  Modul Teras Tema mengandungi tema Dunia Kesenian dan tema Dunia Sains dan Teknologi (DST).  Dalam tema Dunia Kesenian, terdapat dua mata pelajaran, iaitu Seni Visual dan Muzik. Tema DST mengandungi elemen mata pelajaran Sains, Teknologi Maklumat dan Komunikasi (TMK) dan Reka Bentuk dan Teknologi (RBT).

Mengapakah Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas?

Jawapan :

Sains tidak dijadikan Modul Teras Asas kerana Modul Teras Asas memberi fokus kepada literasi dan numerasi, kesejahteraan diri dan pembangunan rohani.  Manakala Sains pula diperkenalkan dalam Modul Teras Tema untuk memberi pengetahuan asas tentang disiplin ilmu Sains.

Mengapakah peruntukan masa untuk Pendidikan Islam di SJK (C) dan SJK (T) dikurangkan berbanding di SK?

Jawapan :

Di SJK (C) dan SJK (T), peruntukan masa bagi mata pelajaran Bahasa Cina dan Bahasa Tamil ialah 360 minit. Jika peruntukan masa Pendidikan Islam disamakan dengan di SK, maka murid akan balik lewat kerana belajar lebih daripada 1380 minit seminggu.

Bolehkah sekolah membuat penjurusan (streaming) dalam KSSR?
Jawapan :

KSSR tidak mengalakkan penjurusan.

Adakah KSSR dapat melahirkan masyarakat yang bersahsiah?

Jawapan :

Ya.  Konsep KSSR mengandungi tunjang keterampilan diri yang memastikan murid dididik dan dibimbing supaya memiliki daya kepimpinan dan sahsiah diri yang tinggi melalui kurikulum dan aktiviti kokurikulum.

Siapakah yang akan mengajar Dunia Sains dan Teknologi?
Jawapan :

Guru yang paling sesuai mengajar DST ialah guru beropsyen Sains.
   
Perlukah murid Tahun 1 belajar TMK?

Jawapan :

Ya, semua murid Tahun 1 perlu belajar kemahiran asas TMK supaya murid dapat menggunakan kemahiran tersebut dalam semua disiplin ilmu.

Bolehkah Elemen Merentas Kurikulum tidak digunakan dalam P&P?
Jawapan :

Elemen Merentas Kurikulum(EMK) tidak perlu digunakan  dalam setiap kali sesi p&p tetapi ia perlu diaplikasikan dalam p&p yang bersesuaian.

Bilakah elemen TMK diajar dalam Dunia Sains dan Teknologi?
Jawapan :

Kemahiran asas TMK amat penting diajar  kepada murid Tahun 1 dan dicadangkan supaya ianya diajarkan pada awal tahun.Kemahiran asas ini boleh juga diajar dalam elemen Sains menggunakan TMK.  Elemen TMK dapat dikuasai sepenuhnya maka ia boleh diperkukuhkan  secara merentas kurikulum dalam disiplin ilmu lain.

Berapakah bilangan minimum dan maksimum standard kandungan serta standard pembelajaran TMK yang perlu diajar dalam  seminggu?
Jawapan :
Tiada bilangan minima atau maksima yang ditentukan dalam seminggu kerana tahap kebolehan murid yang berbeza-beza. Walau bagaimanapun semua standard kandungan dan standard pembelajaran perlu dicapai dalam tempoh masa yang ditetapkan seperti mana yang digariskan dalam DSK TMK.

Adakah murid akan berasa bosan di kelas dengan penambahan waktu Bahasa Inggeris?
Jawapan :

Tidak. Kaedah dan teknik yang pelbagai diperkenalkan oleh guru untuk menarik minat murid. Modul Language Arts yang menekankan pendekatan didik hibur dan apresiasi bahasa. P & P bahasa yang menarik dan efektif dijalankan melalui aktiviti menyanyi, jazz chants, choral speaking, drama, muzik dan bahan bantu mengajar lain yang sesuai.

Apakah tindakan guru sekiranya murid tidak mencapai standard yang ditetapkan?
Jawapan :

Guru perlu membuat tindak susul yang berterusan seperti menjalankan pemulihan untuk memastikan murid akhirnya mencapai standard yang ditetapkan.

Adakah buku teks disediakan bagi semua mata pelajaran tahun 1?
Jawapan :

Ada, kecuali Dunia Seni Muzik dan Seni Visual tidak disediakan buku teks.  Walau bagaimanapun, buku panduan pengajaran disediakan untuk mata pelajaran ini.

Adakah semua murid belajar menggunakan komputer bagi Elemen Merentas Kurikulum  - Teknologi Maklumat dan Komunikasi?
Jawapan :

Bagi EMK yang melibatkan TMK (EMK-TMK), murid boleh menggunakan peralatan TMK sedia ada di sekolah seperti komputer, cakera padat, Internet dan lain-lain mengikut kesesuaian topik.  Bagi guru pula, 3 pendekatan yang dicadangkan boleh diguna pakai dalam melaksanakan EMK-TMK iaitu:

• Murid menggunakan komputer riba di dalam kelas, komputer dipusat akses dan juga di makmal komputer bagi tujuan menyiapkan hasil kerja yang dikehendaki
• Guru menggunakan komputer riba bersama projektor LCD dalam kelas bagi tujuan pengajaran menggunakan perisian kursus dan bahan digital
• Guru menggunakan komputer riba bersama projektor LCD di dalam kelas melibatkan aktiviti interaktif bersama murid atau guru menggunakan komputer di dalam makmal komputer bagi tujuan p&p bersama murid

Bagaimanakah EMK-TMK hendak dijalankan sekiranya semua guru hendak menggunakan makmal dalam satu masa?
Jawapan :

Prasarana yang terdapat di sekolah seperti Makmal Komputer, Pusat Akses dan komputer riba hendaklah digunakan secara optima oleh guru dalam p&p EMK-TMK.  Pentadbir pula harus memastikan semua kemudahan tersebut berada dalam keadaan baik yang boleh diakses pada waktu persekolahan. Sekiranya guru ingin menggunakan makmal komputer, pihak sekolah perlu menyediakan jadual penggunaan dan borang tempahan.
  
Bagaimanakah sekolah yang tidak mempunyai capaian internet dapat melaksanakan pembelajaran yang melibatkan komputer?
Jawapan :

Semua sekolah telah dibekalkan capaian internet melalui program Rangkaian SchoolNet KPM dan tidak semua topik di dalam EMK-TMK memerlukan capaian Internet.  Sekiranya pihak sekolah menghadapi masalah capaian Internet, sekolah bolehlah menghubungi pihak yang telah di pertanggungjawabkan atau JPN.  Sekolah juga telah dimaklumkan melalui pekeliling KP.BTMK 1/044/01 Jld. 11 (11) bertarikh 13 November 2008 bahawa capaian alternatif boleh digunakan.

Apakah usaha yang dilakukan bagi menyediakan guru bagi pelaksanaan KSSR?
Jawapan :

KPM telah menjalankan kursus penyebaran KSSR kepada semua guru yang terlibat dalam pelaksanaan KSSR. Guru juga dibekalkan bahan sokongan dan boleh mengakses maklumat daripada laman web di  KPM seperti yang berikut: http://www.moe.gov.my/bpk

Adakah KSSR mampu mendorong kreativiti guru dan murid dalam p&p?
Jawapan :

KSSR mampu mendorong meningkatkan kreativiti guru dan murid melalui pendekatan p&p seperti didik hibur dan elemen nilai tambah merentas kurikulum.  Guru dibekalkan dengan buku panduan kreativiti untuk membantu guru dalam pelaksanaan p&p.

Apakah saluran yang disediakan oleh guru-guru yang menghadapi masalah berkaitan KSSR?
Jawapan :

KPM menyediakan laman web KSSR (www.moe.gov.my/bpk) untuk memudahkan guru berinteraksi sekiranya menghadapi masalah. Selain itu, guru digalakkan menghubungi JU, pegawai PPD atau pegawai JPN untuk mendapatkan khidmat nasihat berkaitan KSSR.

Dalam tahap 1, setakat manakah pendidikan seks diajarkan?
Jawapan :
Pendidikan Kesihatan Reproduktif  dan Sosial (PEERS) tidak diajar sebagai satu mata pelajaran tetapi sebagai komponen yang besar (75%) dalam mata pelajaran Pendidikan Kesihatan.


Sistem PBS : Kerajaan jamin atasi kelembapan internet


Kementerian Pendidikan memberi jaminan isu kelembapan liputan internet sehingga menimbulkan masalah kepada guru melaksanakan Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) diatasi mulai sesi persekolahan Januari 2014.

Timbalan Menteri Pendidikan II, P Kamalanathan, berkata kerajaan sedar dan memandang serius keluhan guru mengenai sistem itu terutama aduan liputan internet yang sangat tidak memuaskan sehingga melambatkan proses pentaksiran dan menambah beban tugas mereka. 

Katanya, sistem PBS dihentikan ketika cuti sekolah untuk membolehkan usaha naik taraf liputan internet, sekali gus mengatasi masalah dihadapi sistem itu yang diwujudkan bukan untuk membebankan guru, tetapi bagi menyediakan pentaksiran pelajar secara lebih holistik dan bukan berlandaskan pemeriksaan semata-mata.


“Dalam pelaksanaan sistem ini, banyak cabaran dihadapi. Saya bagi pihak kementerian memohon maaf kepada semua guru kerana hasrat kita bukan untuk bebankan mereka. Kita dalam proses cari penyelesaian,” katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2014 peringkat kementerian berkenaan.

Dalam sesi perbahasan sebelum itu, beberapa Ahli Parlimen menyuarakan rasa tidak setuju terhadap pelaksanaan PBS yang mengundang banyak aduan guru. Ada yang mahu ia dimansuhkan kerana bukan saja menjejaskan proses pengajaran dan pembelajaran (P&P), malah tidak sesuai untuk sesetengah kawasan luar bandar yang ada masalah bekalan elektrik.

Sementara itu, Kamalanathan berkata, kementerian membekukan lesen sementara (moratorium) penubuhan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) selama dua tahun mulai Februari lalu bagi memastikan pembukaan IPTS baru adalah terkawal, manakala penawaran kursus dan tempat pengajian tidak melebihi permintaan.


Sumber: Berita Harian (20 November 2013)

PENTAKSIRAN BERASASKAN SEKOLAH


Sistem Pentaksiran Pendidikan Kebangsaan (SPPK) adalah satu sistem pentaksiran yang diperkenalkan dalam transformasi pendidikan. SPPK merupakan transformasi daripada sistem yang menumpukan kepada ujian pencapaian dan peperiksaan (berorientasi peperiksaan) kepada sistem yang lebih holistik. Tujuannya ialah untuk menyediakan satu set indikator untuk menilai potensi murid dan kesediaan untuk belajar, selain menguji penguasaan dan pencapaian. 

Pentaksiran adalah komponen penting dalam pendidikan kerana ia memberi maklumat mengenai perkembangan murid kepada guru, ibubapa dan murid itu sendiri. Hasil pentaksiran boleh membantu guru menilai kaedah pengajaran dan aktiviti yang dilaksanakan dalam proses pengajaran dan pembelajaran. 

Kementerian prihatin terhadap dakwaan bahawa sistem pendidikan Negara terlalu berpaksikan peperiksaan. Justeru,  Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 Disember 2010 telah bersetuju supaya Pentaksiran Berasaskan Sekolah (PBS) dilaksanakan sebagai sebahagian daripada Program Transformasi Pendidikan.
 
PBS merupakan satu usaha untuk membangunkan modal insan secara holistik melalui penekanan terhadap penguasaan ilmu pengetahuan, modal intelektual, pembudayaan sikap progresif dan pengamalan nilai, etika serta moral yang tinggi seperti tercatat di dalam Pelan Induk Pembangunan  Pendidikan (PIPP), Pelan Integriti Nasional (PIN) dan seperti yang dihasratkan dalam Misi Nasional.

PBS mula dilaksanakan di Sekolah Rendah pada tahun 2011 dan diperkenalkan di peringkat Sekolah Menengah pada tahun 2012. Justeru pada tahun 2016 murid-murid sekolah rendah akan menduduki UPSR yang telah ditambahbaik. Pada tahun 2014 pula PMR akan dilaksanakan sepenuhnya dalam bentuk PBS.

1
APAKAH PBS?

PBS merupakan satu pentaksiran yang bersifat holistik yang mampu menilai aspek kognitif (intelek), afektif (emosi dan rohani) dan psikomotor (jasmani) selaras dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR).

PBS dioptimumkan untuk mentaksir bidang akademik dan bukan akademik. PBS memberi pengiktirafan dan autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran formatif (pentaksiran yang dijalankan semasa proses pembelajaran berlangsung) dan sumatif (pentaksiran yang dijalankan di akhir satu unit pembelaran) yang berasaskan sekolah .

Komponen PBS dalam sistem pentaksiran kebangsaan merangkumi:
v Pentaksiran Sekolah
v Pentaksiran Pusat
v Pentaksiran Aktiviti JasmaniSukan dan Kokurikulum
v Pentaksiran Psikometrik

Pentaksiran Sekolah (PS) dirancang, dibina, ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor oleh guru sekolah di sekolah. Contoh instrumen pentaksiran yang boleh digunakan ialah lembaran kerja, pemerhatian, kuiz, senarai semak, laporan tugasan, tugasan rumah dan ujian.

Pentaksiran Pusat (PP) pula ditadbir, diperiksa, direkod dan dilapor di peringkat sekolah oleh guru berdasarkan tugasan dan skema pemarkahan yang dikeluarkan oleh Lembaga Peperiksaan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut mata pelajaran.

Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dilaksanakan di peringkat sekolah dan ditadbir, direkod dan dilaporkan melalui penyertaan, penglibatan dan pencapaian murid dalam aktiviti jasmani dan kesihatan, sukan dan permainan, aktiviti kokurikulum dan aktiviti ekstrakurikulum (contohnya penglibatan sebagai ahli kumpulan marhaban yang dianjurkan oleh JK Surau tempat murid tinggal dan aktiviti bermanfaat lain yang dianjurkan oleh pihak luar selain sekolah).

Pentaksiran Pkisometrik pula dilaksanakan di peringkat sekolah dan/atau pusat untuk mengukur kebolehan (innate ability and acquired ability) semulajadi  murid, kemahiran berfikir, kemahiran menyelesaikan masalah, minat, kecenderungan, sikap dan personaliti murid. Pentaksiran ini tidak berasaskan kurikulum.

2.
APAKAH OBJEKTIF PBS?

Objektif pelaksanaan PBS adalah untuk:
·         mendapatkan gambaran secara keseluruhan tentang potensi individu
·         memantau pertumbuhan dan membantu meningkatkan potensi individu
·         membuat pelaporan bermakna tentang pembelajaran individu

Kesimpulannya PBS akan memastikan murid yang melalui sistem pendidikan negara mencapai  taraf antarabangsa dalam bidang ilmu pengetahuan, kemahiran dan kecekapan.
.
3
SUBJEK APAKAH YANG DINILAI MELALUI PBS?

Semua subjek yang diajar di sekolah rendah dan menengah akan dinilai melalui PBS.

4
BAGAIMANAKAH GURU MELAKSANAKAN PBS?

Bagi memastikan kelicinan pelaksanaan PBS, guru seharusnya menggunakan Dokumen Standard Kurikulum yang mengandungi perkara-perkara yang patut dipelajari dan perlu disampaikan dalam proses pengajaran dan pembelajaran manakala Dokumen Standard Prestasi adalah rujukan utama untuk mentaksir dan mengukur penguasaan murid.

Guru diberi pengiktirafan dan autonomi untuk menjalankan pentaksiran secara formatif semasa pengajaran dan pembelajaran ataupun secara sumatif diakhir unit pembelajaran atau pun di akhir tahun.

Untuk mentaksir guru tidak semestinya menyediakan lembaran kerja bagi setiap kemahiran yang hendak dinilai. Evidens atau bukti penguasaan murid boleh diperolehi melalui pemerhatian, jawapan lisan, latihan dalam buku latihan atau buku kerja dan juga kerja rumah. PBS tidak membataskan kreativiti guru yang sudah tentunya lebih mengenali murid mereka.

5
APAKAH KELEBIHAN PBS?

Dalam usaha penambahbaikan kepada pentaksiran sekolah sedia ada, Pentaksiran Rujukan Standard diperkenalkan, iaitu menggunakan Standard Prestasi untuk melihat kemajuan dan pertumbuhan (growth) pembelajaran serta pencapaian prestasi seseorang murid. Ia merupakan proses mendapatkan maklumat tentang sejauh mana murid tahu, faham dan boleh buat atau telah menguasai apa yang dipelajari berdasarkan pernyataan standard prestasi yang ditetapkan mengikut tahap-tahap pencapaian seperti yang dihasratkan dalam dokumen kurikulum.

Pentaksiran Rujukan Standard tidak membandingkan pencapaian seseorang murid dengan murid lain tetapi melapor prestasi murid dalam pembelajaran dengan menerangkan tentang kemajuan dan pertumbuhan (growth) murid dalam pembelajaran dengan merujuk kepada pernyataan standard.

Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang kepada pembangunan negara dan bangsa mengikut keupayaan dan kebolehan masing-masing.

6
APAKAH YANG DIMAKSUDKAN DENGAN BAND/TAHAP PENGUASAAN?

Dalam PBS pencapaian murid dilaporkan berdasarkan band dan bukan lagi sebagai skor mentah seperti  81% atau pun gred A,B,C,D.

BAND/TAHAP PENGUASAAN
STANDARD
6
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Mithali
5
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab Terpuji
4
Tahu, Faham dan Boleh Buat dengan Beradab
3
Tahu, Faham dan Boleh Buat
2
Tahu dan Faham
1
Tahu

Di Band 1, murid tahu perkara asas, atau boleh melakukan kemahiran asas atau memberi maklum balas terhadap perkara yang asas contohnya bagi Matematik murid di Band 1 mampu mengenal angka 1,2,3 ....

Di Band 2, murid menunjukkan kefahaman untuk menukar bentuk komunikasi atau menterjemah serta menjelaskan apa yang telah dipelajari contohnya murid tahu dan faham nilai angka seperti 24 lebih banyak dari 10 dan 55 kg lebih berat daripada 48 kg.

Di Band 3, murid boleh menggunakan pengetahuan untuk melaksanakan sesuatu kemahiran pada suatu situasi. Bagi matematik Band 3 menunjukkan murid telah menguasai operasi mudah tambah, tolak, darab dan bahagi.

Murid yang telah mencapai Band 3 dianggap telah menguasai kemahiran asas dalam subjek tersebut.

Di Band 4, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab, seperti tertib atau melaksanakan sesuatu mengikut prosedur dan secara sistematik seperti menyelesaikan operasi tolak dengan mendahulukan rumah ’sa’.

Di Band 5, murid melaksanakan sesuatu kemahiran dengan beradab pada situasi baru, dengan mengikut prosedur atau secara sistematik, serta tekal dan bersikap positif. Bagi matematik murid yang mencapai Band 5 mampu menyelesaikan masalah seperti Berapa biji telurkah yang boleh dibeli oleh Ali dengan wang RM10.00 jika sebiji telur berharga 20 sen?

Dan akhir sekali, di Band 6,  murid mampu menzahirkan idea yang kreatif dan inovatif,mempunyai keupayaan membuat keputusan untuk mengadaptasi permintaan serta cabaran dalam kehidupan seharian serta boleh berbicara untuk mendapatkan dan menyampaikan maklumat menggunakan ayat yang sesuai secara bertatasusila dan menjadi contoh secara tekal. Di Band 6 murid boleh membuat keputusan dalam masalah seperti membuat pilihan di antara kemeja biru yang berharga RM30.00 tetapi diberi diskaun 50% dan baju tawaran terbaik (best buy) yang sama kualiti dengan harga RM20.00.

Band 3 boleh disamatarafkan dengan gred lulus. Justeru guru perlu merangka aktiviti pemulihan bagi membantu murid mencapai Band minima 3.

PBS memberi autonomi kepada guru untuk melaksanakan pentaksiran berdasarkan kesediaan murid. PBS membantu guru dan murid mengenalpasti kekuatan dan kelemahan murid semasa pengajaran dan pembelajaran berjalan. Sehubungan dengan itu guru bolehlah menyesuaikan aktiviti pengayaan atau pemulihan mengikut keperluan murid.

Wajar diingat bahawa PBS tidak membandingkan murid dengan murid lain. Sebaliknya kejayaan murid diukur bersandarkan Standard yang harus dicapai di sesuatu tahap pembelajaran. Adalah diharapkan dengan cara ini tekanan ke atas murid dan guru dapat dikurangkan kerana murid tidak dibandingkan dengan kumpulan yang lebih cerdas atau terpaksa menunggu rakan lain yang belum menguasai sepenuhnya sesuatu kemahiran yang diajar untuk maju. Sekiranya dilaksanakan dengan baik dan terancang PBS bakal mewujudkan persekitaran yang harmonis dalam kelas untuk untuk perkembangan individu.

7
ADAKAH PBS AKAN MENAMBAH BEBAN TUGAS GURU?

Sekiranya diurus dan dilaksanakan dengan bijak, guru akan mendapati bahawa PBS memberi banyak manfaat dan mampu mengurangkan beban tugas guru.

Bagi membantu guru melaksanakan PBS, dua aplikasi ICT telah dibangunkan untuk memastikan guru tidak dibebani dengan tugas-tugas perkeranian. SPPBS (Sistem Pengurusan Pentaksiran Berasakan Sekolah) and PAJSK (Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum) dibangunkan bagi merekod, menyimpan dan melapor perkembangan murid. Data yang disimpan boleh dicetak sebagai laporan apabila diperlukan.

8
BOLEHKAH GURU DIPERCAYAI UNTUK MENILAI MURID SENDIRI?

Kebolehpercayaan kepada pentaksiran yang dijalankan oleh guru ditingkatkan melalui penjaminan kualiti. Semua hasil kerja murid dijadikan evidens yang perlu difailkan sebagai bukti yang menunjukkan murid telah menguasai kemahiran yang diajar.

Penjaminan kualiti bagi pelaksanaan PBS dapat dicapai melalui:
a.            Pementoran
b.            Penyelarasan
c.            Pemantauan
d.            Pengesanan

Pementoran adalah proses membantu, memudah cara dan membimbing guru untuk melaksanakan PBS mengikut prosedur dan peraturan yang telah ditetapkan dan boleh dilaksanakan secara formal dan tidak formal.

Penyelarasan adalah proses penyeragaman skor dengan merujuk kepada Standard Prestasi yang disediakan bagi memastikan skor yang diberikan oleh guru adalah sah dan boleh dipercayai.

Pemantauan pula ialah proses memastikan pelaksanaan PBS mengikut prosedur dan garis panduan yang ditetapkan bagi memastikan arahan pelaksanaan PBS dipatuhi dan mengelakkan penyelewengan dan ketidakakuran. Pemantau Dalaman yang dilantik di peringkat sekolah dan Pemantau Luaran yang terdiri daripada pegawai PPD, JPN dan KPM terlibat dalam proses ini.

Pengesanan pula adalah proses memastikan kekuatan dan keberkesanan instrumen pentaksiran yang digunakan bagi meningkatkan kesahan, kebolehpercayaan dan kebolehtadbiran instrumen pentaksiran. Pengesanan turut melibatkan guru dan pegawai KPM.

Penjaminan Kualiti oleh guru mata pelajaran, Guru Cemerlang, Ketua Panitia, Ketua Bidang, Guru Besar, pegawai Pejabat Pelajaran Daerah, Jabatan Pelajaran Negeri dan Kementerian Pelajaran Malaysia memastikan PBS dilaksanakan dengan baik seperti dirancang. Setiap individu yang terlibat dalam pembangunan atau pelaksanaan sistem pentaksiran pendidikan adalah bertanggungjawab menjamin kualiti dan mutu pentaksiran yang dikendalikan. Kualiti hendaklah menjadi tumpuan utama dalam semua aspek dan peringkat pentaksiran. 

9
ADAKAH PBS SATU KONSEP BARU?

PBS bukan konsep baru. Soalan, kuiz, latihan dalam kelas, kerja rumah dan projek adalah kaedah yang sering diguna pakai oleh guru untuk mengukur penguasaan murid dalam setiap kemahiran yang diajar.

10
PENUTUP

Pentaksiran pendidikan di Malaysia bertujuan mendapatkan maklumat  tentang prestasi murid bagi memperkembangkan sepenuhnya potensi setiap individu sebagai modal insan yang harmonis dan seimbang selaras dengan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan.

Apa yang jelas, proses penambahbaikan yang diperkenalkan Kementerian Pelajaran menerusi PBS ini memberi gambaran bahawa sistem peperiksaan berpusat seperti UPSR dan PMR bukan lagi bentuk penilaian tunggal dalam mengukur pencapaian murid menguasai pembelajaran. Lebih dari itu, ia diharap mampu melahirkan murid yang lebih cemerlang dalam semua aspek kerana pentaksirannya dilakukan daripada peringkat awal dan bukan sahaja terhad kepada bidang akademik tetapi juga merangkumi sahsiah, sukan dan kokurikulum.

Murid-murid dinilai secara adil dan saksama sebagai individu dalam masyarakat berdasarkan keupayaan, kebolehan, bakat, kemahiran dan potensi diri tanpa dibandingkan dengan orang lain. Pihak sekolah mampu mendapatkan maklum balas yang lengkap dalam bentuk data kualitatif dan kuantitatif yang merangkumi segala aspek tentang diri seseorang murid itu bagi membolehkan pihak yang bertanggung jawab mengenali, memahami, menghargai, mengiktiraf dan memuliakan anak didik sebagai insan yang berguna, penting dan mempunyai potensi untuk menyumbang .

Pentaksiran yang berkualiti akan menghasilkan maklumat yang tepat dan menunjukkan keadaan sebenar tentang tahap pembelajaran murid. Maklumat yang tepat boleh membantu pembuat dan penentu dasar melakukan perubahan bagi tujuan meningkatkan pengajaran dan pembelajaran. 

SUMBER :LEMBAGA PEPERIKSAAN
KEMENTERIAN PELAJARAN