Masalah disiplin di sekolah sering menjadi bahan perbualan. Tindakan
guru-guru mengambil tindakan terhadap pelajar yang melakukan kesalahan disiplin
kerap dipertikaikan oleh ibu bapa. Masalah salah laku di kalangan pelajar
adalah merupakan salah satu perkara yang mendatangkan kesan tidak baik kepada
pihak sekolah khususnya dan masyarakat secara amnya.
Jika perkara seperti ini tidak dapat dibendung dengan segera, ia
mungkin akan mendatangkan
kesan yang lebih buruk lagi kepada negara kita. Menurut kajian yang
dijalankan oleh Wan Yusoff (2002) mendapati bahawa ibu bapa dan guru-guru sekolah
menganggap masalah salah laku sebagai masalah
disiplin nombor satu di sekolah.
Tujuan disiplin bukan
semata-mata untuk mengenakan hukuman ke atas pelajar tetapi dalam pengertian yang
lebih meluas disiplin adalah bertujuan untuk membantu pelajar belajar dengan lebih selesa, berinteraksi dengan kawan-kawan dengan lebih mesra
serta membantu mereka agar lebih terarah dan bertanggungjawab. Pelajar akan mematuhi disiplin sekiranya ia bertujuan untuk
membantu mereka mencapai kejayaan tetapi sebaliknya akan menolak disiplin sekiranya ia dipaksa
dan bertujuan menghukum mereka. Duke dan Canady dalam Mohd Ismail (2006: 6) menyatakan:
“ In schools where the headteachers emphasized punishments rather more
than rewards, pupil’s
progress tended to be inhibited:the greater the number of punishments
listed, the more negative
were the effects. In contrast, whenever the number of rewards exceeded
the number of
punishments, progress was greater’.
Mengikut pekeliling dan
peraturan sekolah Kementerian Pelajaran Malaysia, salah laku
pelajar boleh dikategorikan kepada tiga jenis iaitu kesalahan berat,
kesalahan sederhana dan kesalahan ringan. Di antara contoh-contoh kesalahan berat
di sekolah ialah membawa. menyimpan atau menghisap dadah, bergaduh, biadap
terhadap guru dan lain-lain.
Kesan daripada masalah disiplin pelajar yang semakin meningkat saban
tahun menyebabkan pihak Kementerian Pelajaran Malaysia melalui Pekeliling Peraturan
Dan Hukuman 2002, melaksanakan beberapa peraturan dan hukuman yang setimpal
bertujuan untuk membendung segala salah laku pelajar daripada terus berleluasa.
Di antara hukuman yang dilaksanakan oleh pihak kementerian melalui pihak
sekolah ialah hukuman rotan, gantung sekolah, buang sekolah, surat amaran,
denda, tahanan dan lain-lain yang bersesuaian.
Garis panduan pengendalian kes salah laku murid yang perlu dipatuhi .
1.
Pihak sekolah perlu mengambil perhatian perkara-perkara berikut
supaya kes salah laku murid di sekolah dapat dikendalikan tanpa menimbulkan
keraguan daripada mana-mana pihak.
1.1. Setiap tindakan dan hukuman yang dikenakan ke atas
murid hendaklah mengikut peraturan serta garis panduan yang disediakan
oleh Kementerian Pelajaran Malaysia. Tindakan dan hukuman tersebut hendaklah direkodkan dan sentiasa
dikemas kini.
1.2. Mengumumkan pelantikan guru disiplin kepada warga sekolah
khususnya murid.
1.3. Hukuman yang dikenakan ke atas murid perlu bersifat
mendidik. Hukuman tersebut mestilah tepat, adil, setimpal, tidak
mendera dan tidak menjatuh maruah murid. Proses kaunseling hendaklah
dilaksanakan ke atas murid sama ada sebelum atau selepas menerima
sebarang hukuman.
1.4. Buku Peraturan Sekolah hendaklah
menyatakan dengan jelas unsure dan jenis hukuman supaya murid dan ibu bapa
memahami operaturan-peraturan yang diguna pakai di sekolah.
1.5. Unsur provokasi yang memberi kesan negatif sama
ada dalam bentuk pergerakan anggota tubuh badan ataupun kata-kata hendaklah
dielakkan dalam membuat arahan kepada murid.
1.6. Bagi kes salah laku ringan dan sederhana yang
berlaku di sekolah hendaklah diselesaikan di peringkat sekolah. Walau
bagaimanapun sekiranya kes tersebut melibatkan pihak luar maka hendaklah
diselesaikan secara permuafakatan. ( Ibu bapa/ Penjaga/
PIBG / JKKK / Persatuan Penduduk / Pegawai Perhubungan Polis dan lain-lain yang
berkaitan)
1.7. Kes salah laku berat seperti melibatkan senjata,
gangstarisme, kongsi gelap, dadah atau berupa ancaman keselamatan kepada guru,
murid-murid dan warga sekolah yang lain hendaklah dilaporkan kepada polis.
2.
Pertimbangan
asas dalam menentukan sebarang hukuman ke atas murid:
2.1. Beratnya kesalahan : Lebih serius salah
laku itu, maka beratlah hukuman yang akan dikenakan. Beratnya hukuman yang
dikenakan hendaklah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan.
2.2. Perwatakan dan latar belakang murid :
Perwatakan, sejarah dan latar belakang murid yang melakukan salah laku disiplin
perlu diteliti sebelum diputuskan sebarang hukuman.
2.3. Kekerapan kesalahan : Lebih kerap salah
laku murid atau lebih bersungguh-sungguh murid itu melakukannya maka lebih
beratlah hukuman ke atas murid berkenaan.
3.0 Pengetua
dan Guru Besar hendaklah mematuhi serta mengikut prosedur berikut sebelum
hukuman dilaksanakan.
3.1. Membuat siasatan yang menyeluruh dan
teliti ke atas murid serta pihak lain yang terlibat setelah menerima aduan
salah laku murid. Siasatan ini perlu dibuat untuk memastikan kebenaran aduan
murid. Jika aduan itu benar, perkara- perkara berikut hendaklah disediakan :
3.1.1. Laporan siasatan
3.1.2. Pengakuan bertulis daripada murid berkenaan dan
saksi
3.1.3. Bukti yang cukup; dan lengkap
3.2. Memaklumkan kes salah laku murid kepada
ibu bapa / penjaga.
3.3. Mesyuarat Jawatankuasa Disiplin / Lembaga
Disiplin Sekolah hendaklah dilaksanakan untuk meneliti setiap kes
salah laku murid. Pengetua / Guru Besar hendakalah menilai laporan Jawatankuasa
Disiplin / Lembaga Disiplin Sekolah dan membuat kesimpulan untuk menentukan
sama ada kes tersebut bersabit ( wujud “prima facie”) atau tidak.
3.4. Jika wujud “prima facie”,pertuduhan hendaklah dibacakan
dan surat pertuduhan hendaklah diberikan kepada murid yang terlibat.
Murid diberi peluang untuk menjawab kebenaran pertuduhan terhadapnya.
3.5. Jika murid menafikan tuduhan tersebut maka
hendaklah diberi peluang kepadanya untuk membela diri dan
memberi bukti bahawa tuduhan yang dihadapkan kepada beliau tidak betul.
3.6.
Pengetua / Guru Besar membuat keputusan.
3.6.1.
Jika murid dapat membuktikan bahawa tuduhan yang dihadapkan itu tidak
betul atau dia tidak bersalah, Pengetua / Guru Besar hendaklah membuat
keputusan bahawa murid berkenaan tidak bersalah dan tiada hukuman ke atas murid
berkenaan.
3.6.2.
Jika murid itu mengaku bahawa dia bersalah atau terbukti dia bersalah, Pengetua
/ Guru Besar hendaklah mengenakan hukuman ke atas murid berkenaan.
4.0 Hukuman yang boleh dikenakan ke atas murid yang
melakukan slaah laku adalah seperti berikut :
4.1.
Hukuman biasa : rotan, denda, amaran dan penahanan.
4.2.
Gantung persekolahan
4.3.
Gantung asrama
4.4.
Buang asrama
4.5.
Buang sekolah
5.0 Sekolah perlu memastikan
perkara-perkara berikut dilaksanakan bagi melicinkan pengurusan kes salah laku
murid.
5.1.
Ibu bapa / penjaga murid hendaklah dimaklumkan secepat mungkin
setiap kes salah laku anak mereka.
5.2.
Pihak sekolah hendaklah memanggil ibu bapa / penjaga murid yang dikenakan
tindakan gantung sekolah, gantung asrama, buang asrama atau buang sekolah untuk
menyerahkan anaknya. Sekolah bertanggungjawab menghantar murid ke rumah jika
ibu bapa / penjaga tidak hadir ke sekolah khususnya bagi murid yang tinggal di
asrama.
5.3.
Pihak sekolah mestilah tegas dan adil dalam mengendalikan kes salah laku murid.
Setiap murid yang melakukan kesalahan mestilah dihukum. Setiap hukuman yang
dikenakan ke atas murid hendaklah mengikut tatacara yang betul.
5.4.
Pengetua / Guru Besar sahaja yang boleh menggantung atau buang sekolah dan
surat-surat bagi hukuman tersebut mestilah ditandatangani oleh Pengetua / Guru
Besar.
5.5.
Semua surat yang dikeluarkan oleh sekolah berkaitan kes salah laku murid ini
mestilah jelas dan tepat maksudnya supaya tidak dipertikaikan oleh mana-mana
pihak.
5.6.
Pihak sekolah perlulah mengadakan permuafakatan dengan PIBG, Polis Diraja
Malaysia (PDRM), pemimpin setempat dan pihak-pihak lain yang berkaitan supaya
kes salah laku murid sekolah dapat ditangani secara holistik.
5.7.
Jawatankuasa Disiplin Murid dan Jawatankuasa Tadbir / Disiplin Asrama hendaklah
berfungsi sepenuhnya dalam pengendalian kes salah laku murid di sekolah.
Jawatankuasa PIBG sekolah hendaklah menjadikan isu disiplin murid sebagai satu
agenda dalam mesyuarat dan perbincangan.
6.0 Pihak sekolah perlu menyediakan
dokumen dan perkara-perkara berikut agar kesahihan hukuman ke atas
murid yang melakukan salah laku tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak.
6.1. Rekod Salah Laku Murid / Sistem Salah laku Disiplin Murid
(SSDM)
6.2. Perancangan Strategik Peningkatan Disiplin Murid
6.3. Buku Peraturan Sekolah
6.4. Rekod Kehadiran Murid
6.5. Buku Catatan Kehadiran Murid Dalam Kelas / Diari Kelas
6.6. Laporan Guru Bertugas
6.7. Buku Catatan / Laporan Perhimpunan Sekolah.
6.8. Buku Catatan Pengumuman Sekolah
6.9. Rekod Perkhidmatan Kaunseling Murid
6.9.1. Catatan / Maklumat berkaitan panduan dan tatacara keselamatan
murid semasa di sekolah atau mengikut aktiviti murid di luar sekolah.
7.0 Dalam
melaksanakan tugas dan tanggungjwab di atas, Pengetua / Guru Besar dan semua
guru hendaklah sentiasa merujuk kepada buku dan dokumen berikut
:
7.1. Akta Pendidikan
7.2. Ordinan Pelajaran 1957, Peraturan-peraturan Pelajaran (
Disiplin Sekolah) 1959.
7.3.
Panduan Tatacara Disiplin Untuk Guru Besar dan Guru, Kementerian Pelajaran
Malaysia, DBP, Kuala Lumpur, 1988.
7.4.
Panduan Mengatasi Masalah Ponteng Di Sekolah, Kementerian Pelajaran Malaysia,
1994.
7.5.
Surat-surat Pekeliling Ikhtisas Berkaitan Disiplin dari tahun 1968 hingga
sekarang ( yang masih berkuatkuasa )
8.0 Pihak sekolah bertanggungjawab melaporkan
kes salah laku murid ( khususnya kes berat ) kepada Pejabat Pelajaran
Daerah dan Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.
8.1. Laporan lisan sebagai maklumat awal
8.2. Laporan rasmi pada hari pertama. Ketiga dan ketujuh
menggunakan Borang PKP 04-3 ( 1-3-7 )
Unit Hal Ehwal Murid .
SK KAMPONG BUKIT CHENDERING
SK KAMPONG BUKIT CHENDERING