Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari
ini mengumumkan sistem saraan baru perkhidmatan awam yang dikenali sebagai
Sistem Saraan Transformatif (SST). Pelaksanaan SST, kata beliau, adalah
berdasarkan kepada perubahan-perubahan yang sedang dilaksanakan dan input
daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam.
Antara perubahan di bawah SST, kata Perdana
Menteri ialah persetujuan kerajaan semua struktur gaji maksimum dalam Jadual
Gaji Minimum-Maksimum diperuntukkan tambahan Kenaikan Gaji Tahunan (KGT)
sebanyak tiga kali berkuat kuasa 1 Januari lalu.
Perdana Menteri berkata, hal yang demikian
diputuskan kerana sebanyak 182,434 penjawat awam berada di paras gaji maksimum
pada 2013 dan tidak dapat menikmati kenaikan gaji tahunan. Kerajaan juga, kata
Perdana Menteri, bersetuju memberi semua penjawat awam faedah pemindahan gaji
sebanyak satu KGT diawalkan pada 1 Julai ini.
"Ini bermakna setiap penjawat awam mendapat
antara RM80 dan RM320 yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM1.5 bilion,"
katanya ketika berucap sempena Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-13 (MPPA
XIII) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini hari ini.
Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri
Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Dr. Ali Hamsa; Timbalan
Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (Pembangunan), Datuk Farida Mohd. Ali; dan
Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS),
Datuk Omar Osman serta menteri-menteri Kabinet.
MPPA XIII yang bertemakan 'Transformasi
Perkhidmatan Awam, Merealisasikan Wawasan 2020' dihadiri hampir 8,700 penjawat
awam dari pelbagai sektor dan agensi.
Menurut Perdana Menteri, kerajaan juga bersetuju
menyambung kontrak 50,000 pegawai kontrak yang akan tamat perkhidmatan pada 31
Disember ini setahun lagi, sementara kajian menyeluruh dilaksanakan.
Selain itu, beliau turut mengumumkan seramai
166,541 kakitangan dalam gred gaji 1 hingga 10 akan dinaik taraf ke gred
setaraf kelayakan masuk Penilaian Menengah Rendah (PMR).
Menurut beliau, perubahan itu akan memberi
manfaat dari segi laluan kerjaya dan peningkatan sewajarnya dalam gred gaji
kumpulan berkenaan.
Perdana Menteri berkata, kenaikan pangkat
kumpulan pelaksana pula akan dipendekkan berdasarkan tempoh perkhidmatan
daripada 15 tahun kepada 13 tahun yang akan memberi manfaat kepada 17,000
penjawat yang layak.
"Kerajaan juga secara prinsip bersetuju
meluaskan kaedah pelaksanaan kenaikan pangkat iaitu Kenaikan Pangkat Laluan
Pantas, Kenaikan Pangkat Laluan Pakar Bidang dan Kenaikan Pangkat Laluan
Kemahiran Tinggi.
"Kesemuanya ini dalam menambah baik laluan
kemajuan kerjaya penjawat awam dalam jangka masa panjang," katanya.
Menurut Najib, sebanyak 81 skim perkhidmatan
yang telah ditambah baik tetapi tidak dapat dilaksanakan sebelum ini akan
dirunding semula iaitu bagi skim perkhidmatan bakat, juruteknik, pegawai atau
penolong pegawai dan pembantu galian serta skim perkhidmatan Tukang K1 serta K2 .
Dalam ucapannya itu, Perdana Menteri mahu
penjawat awam menguasai teknologi agar mereka kekal relevan dengan peredaran
semasa kerana kemahiran komunikasi baru perlu menjadi teras kepada tugas
berhadapan dengan rakyat secara langsung.
"Kehidupan hari ini dipacu oleh kepantasan,
ketepatan, ketelusan dan keluasan maklumat yang diterima.
"Justeru penjawat awam perlu bersifat
proaktif melakukan penyebaran maklumat bersandarkan ketetapan tanpa melanggar
peraturan agar sistem pentadbiran tidak dikompromi keabsahannya," katanya.
Perdana Menteri turut mengingatkan penjawat awam
supaya memelihara integriti bagi memastikan ketirisan wang atau maklumat yang
menjejaskan keutuhan perkhidmatan awam tidak berlaku.
Katanya, setiap tindakan dan keputusan penjawat awam hari ini
diperhatikan, diperhalusi, diperiksa dan dianalisis serta dikritik
No comments:
Post a Comment