Betulkah
Guru Bahasa Malaysia Memerlukan Pengetahuan Linguistik?
Perkara ini
memang telah lama dan selalu dipersoalkan oleh guru dan orang ramai. Semenjak
linguistik menjadi satu disiplin yang popular, ahli linguistik juga kerap
bertanyakan hal yang sama. Hal ini berlaku bukan kerana mereka tidak tahu
kegunaan linguistik. Memang betul ramai antara ahli linguistik yang jarang
memikirkan tentang kegunaan linguistik. Mereka hanya kerap berkecimpung dengan
teori dan analisis linguistik sahaja. Sebenarnya memang ramai ahli linguistik
yang telah mencuba menggunakan linguistik dalam bidang lain. Ramai ahli
linguistik yang telah lama berkecimpung dalam bidang pengajaran bahasa. ada
pula yang berusaha dalam bidang terjemahan, sosiolinguistik, psikolinguistik,
dan sebagainya. Di samping itu banyak lagi kegunaan linguistik. Mungkin juga
bukan ahli linguistik yang harus menentukan bahawa ilmu linguistik itu berguna
dalam pendidikan, tetapi, terpulanglah kepada para pendidik untuk menentukan
kegunaan linguistik dalam bidang pengajaran. Walau bagaimanapun, linguistik
ialah satu ilmu baharu yang berkembang pesat, walaupun sebenarnya ilmu ini
telah mula dikenali sejak zaman kesarjanaan Yunani dahulu lagi. Tetapi ilmu ini
tidak begitu mudah difahami. Tambahan pula, kebanyakan buku linguistik sukar
untuk dibaca dan difahami. Perkembangan linguistik amat pesat berlaku dan ini
menambahkan kesukaran untuk memahaminya. Hal ini dapat dibuktikan dengan
melihat bilangan jabatan pengajian linguistik yang telah dibuka di
universiti-universiti, dan banyak pula kajian dijalankan serta penerbitan
dihasilkan tentang linguistik. Kesemua perkembangan ini telah menambahkan
kebingungan orang ramai. Itulah sebabnya linguistik dilihat dengan penuh
kesangsian dan sukar diterima, dan malah kadang-kadang ada pihak yang terus
menolaknya. Sebenarnya, kalau linguistik ini ditolak, bukanlah kerana
kegunaannya kurang, tetapi kerana linguistik itu tidak dimengertikan dan tidak
digunakan dengan baik.
Guna Linguistik dalam Pengajaran Bahasa
Kegunaan
linguistik itu memang menjadi soalan yang selalu dikemukakan oleh ramai orang.
Apakah gunanya linguistik terhadap pengajaran bahasa moden? Jadi bersidanglah
seramai lebih kurang 200 orang ahli linguistik di Stockholm pada tahun 1963.
Persidangan ini telah melahirkan Persatuan Linguistik Gunaan Antarabangsa.
Persidangannya yang pertama diadakan di Nancy dan Persatuan itu menumpukan
seluruh perhatian terhadap pengajaran bahasa moden. Banyak daripada butir dan
isu yang disebut dalam makalah ini dikutip daripada laporan persidangan
tersebut, iaitu Linguistic Theories and Their Applications, AIDELA
(1967).
Seseorang penulis
buku linguistik akan tentu dapat menyenaraikan banyak kegunaan ilmu linguistik.
Kita boleh melihat kegunaan linguistik itu dalam bidang neurologi, matematik,
sains maklumat, logik, falsafah, epistemologi, sejarah sosial, kesusasteraan,
filologi, antropologi, sosiologi, psikologi, dan pedagogi. Baru-baru ini
linguistik juga digunakan dalam terjemahan melalui komputer. Penggunaan
linguistik dalam pengajaran selalunya dikenali sebagai linguistik gunaan
dan ini termasuklah kajian fonetik, fonologi, morfologi, sintaksis,
semantik, dan kadang-kadang termasuk juga tajuk-tajuk lain seperti psikolinguistik
dan sosiolinguistik yang masing-masing memberi tumpuan kepada teori
pemerolehan dan keadaan bahasa. Tajuk-tajuk lain juga mungkin termasuk. Sudah
banyak kajian dan pendebatan ditumpukan kepada implikasi pengajaran yang
terkandung dalam ilmu linguistik. Ini terkandung, misalnya, dalam buku S.P.
Corder (19730, D.A. Wilkins (1972), P.Strevens (1977), K.C. Diller (1971), dan
banyak lagi hasil karangan sarjana lain. Dengan itu, tidaklah bijak kalau kita
hanya memandang sepi terhadap segala perkembangan ini dan masih meragui
kegunaan linguistik dalam pengajaran bahasa.
Linguistik Bermula daripada Tatabahasa Tradisional
Memang selalu
kita mendengar guru mengatakan mereka tidak memerlukan linguistik untuk
mengajarkan bahasa Malaysia. Hal ini boleh jadi benar. Ada ramai guru bahasa
Malaysia, lebih-lebih lagi daripada generasi yang lalu, tidak pun mendengar
istilah linguistik, tetapi telah dapat mengajarkan bahasa Malaysia dengan baik.
Hari ini guru bahasa diberi pengetahuan linguistik, dan dilengkapi pula dengan
segala macam alat dan kemudahan, tetapi masih menghasilkan pelajar yang
kadang-kadang tidak pun boleh bertutur dalam bahasa Malaysia dengan baik dan
sempurna. Ini menimbulkan persoalan. Kita ketepikan semua soalan ini dan ambil
satu sahaja. Betulkah linguistik itu diperlukan oleh guru bahasa Malaysia? Ada
satu perkara yang jelas. Kita tidak harus berlagak seperti Pak Pandir dan
menganggap linguistik baru sahaja ditemui. Linguistik ini satu ilmu yang sudah
lama dipelajari. R.H. Robins (1967 hlm. 9-40) telah menunjukkan beberapa kejayaan
sarjana Yunani. Memanglah sarjana-sarjana Yunani ini memikirkan hal bahasa dan
masalah-masalah yang timbul daripada penyelidikan bahasa. hal ini memulakan apa
yang kita kenali sebagai ilmu linguistik dalam pengertian yang luas. Kajian ini
berterusan hingga ke hari ini. Linguistik telah lama digunakan oleh guru
bahasa. bezanya hanyalah, mereka menggunakan linguistik tradisi yang penuh
dengan pernyataan preskriptif dan normatif, tetapi, linguistik
moden pula bersifat struktural dan deskriptif. Seseorang guru
yang menggunakan sebuah buku tatabahasa lama untuk mengajarkan sebutan,
tatabahasa, atau makna, sebenarnya menggunakan pengetahuan linguistik, iaitu linguistik
tradisional. Ini juga linguistik dalam pengertian yang luas.
Linguistik dalam Kursus Perguruan
Kalau mahu
mencari bukti lain bahawa linguistik itu berguna dalam pengajaran bahasa, kita
tidak perlu pergi jauh. Lihat sahaja butir-butir semua panduan kursus
TESL/TEFL/TESOL yang ditawarkan oleh sebarang universiti atau maktab di
mana-mana sahaja. Semuanya memasukkan fonetik, fonologi, sintaksis, dan
semantik ke dalam kursusnya. Ini ialah inti ilmu linguistik. Perkara-perkara
ini tidak akan diajarkan kalau tidak penting dalam pengajaran bahasa. begitu
juga kursus perguruan untuk bakal pengajar bahasa Malaysia, semuanya
mengandungi unsur-unsur linguistik.
Kalau demikian,
bagaimanakah kita dapat mengatakan linguistik itu penting untuk pengajaran
bahasa? Jawapannya akan dapat kita ketahui dengan melihat bagaimana fonetik,
fonologi, morfologi, sintaksis, dan semantik mana-mana bahasa itu berguna dalam
pengajaran bahasa tersebut. Tentulah tidak dapat kita sangkal asas teori bahawa
sebarang pengetahuan tentang sesuatu mata pelajaran itu penting dalam
pengajaran mata pelajaran tersebut. Deskripsi linguistik itu merupakan asas
teori sesuatu bahasa. Deskripsi linguistik memberi deskripsi bahasa: struktur
dan fungsi bahasa itu. Tentu sekali pengetahuan ini berguna dalam
pengajaran bahasa.
Ada banyak cara
linguistik itu boleh menjadi berguna kepada seseorang guru bahasa. E. Roulet
(1975: 65-75) memberikan enam kegunaan linguistik dalam pengajaran bahasa:
Teori linguistik memberikan maklumat tentang struktur dan fungsi sistem
bahasa itu secara umum kepada guru bahasa. Hal ini mungkin memainkan peranan
penting dalam menentukan tujuan, isi, dan pendekatan sesebuah kursus bahasa.
Teori linguistik juga memberikan suatu bahasa perantaraan kepada guru. Ini
ialah kesejagatan bentuk seperti jenis-jenis rumusan yang berlainan dalam tatabahasa
transformasi generatif (rumus penyingkiran, rumus transformasi, dan
sebagainya) dan keseragaman kategori-kategori seperti Frasa Nama, Frasa Kerja,
atau ciri-ciri nahuan kata, seperti: + animat, + statif, dan seterusnya. Semua
perkara ini boleh dipakai oleh guru dalam pengajaran bahasa.
Sama ada secara langsung atau tidak, teori linguistik tentang pemerolehan
bahasa mempengaruhi perkaedahan pengajaran bahasa, lebih-lebih lagi bagaimana
kursus-kursus bahasa diajarkan.
Sebuah deskripsi bahasa akan menyedarkan guru tentang struktur bahasa yang
akan diajarkan, dan dengan itu dapat meningkatkan kualiti isi linguistik dalam
kursus bahasa.
Deskripsi bahasa juga memberi guru bahasa itu suatu pengetahuan tentang
unit-unit unsur seperti fonem, morfem, tagmem, dan sebagainya. Ia juga
memberikan senarai struktur atau suatu sistem rumusan bagi sesuatu bahasa yang
boleh digunakan dalam kursusnya.
Suatu deskripsi bahasa memberikan satu sistem rumusan yang berentetan. Ini
boleh digunakan untuk membentuk bahan mengajar. Kadang-kadang rentetan itu
tidaklah perlu dituruti secara rapi.
Walau bagaimanapun, ahli linguistik bukanlah memberikan
teori atau
deskripsi bahasa.
Linguistik hanya memberikan teknik analisis. Kedua-dua ahli linguistik dan guru
bahasa menggunakan bahasa yang sama lain. Susah kita hendak menerima bagaimana
sebuah bahasa itu boleh diajarkan tanpa sebuah deskripsi bahasa. walau bagaimanapun,
tentu ada pula yang memerlukan penyesuaian untuk diajarkan. Pengajaran bahasa
itu tentu sentiasa mempengaruhi deskripsi bahasa.
Guru bahasa
memang memerlukan linguistik. Oleh itu mereka hendaklah tahu hubungannya antara
linguistik dengan pengajaran bahasa. D.A. Wilkins (1972) menyatakan ada tiga
jenis hubungan tersebut. Pertama, linguistik memberikan deskripsi yang lengkap
tentang bahasa, tetapi tidak memberikan cara mengajar yang paling baik. Kedua,
sebarang perkembangan dalam bidang linguistik itu, janganlah disalahmengertikan
sebagai suatu sebab untuk membuat perubahan. Banyak daripada maklumat demikian
yang akan dipakai untuk mengajarkan bahasa. tetapi seseorang guru bahasa itu
hendaklah menyesuaikan maklumat tersebut untuk tujuan dan kepentingannya.
Ketiga, linguistik memang mempengaruhi pengajaran bahasa, tetapi tidaklah pula
selalunya begitu, tetapi biarlah dihadkan kepada keperluan semasa.
Berapa
Banyakkah Pengetahuan Linguistik yang Perlu Diketahui oleh Guru Bahasa?
Mungkin ramai
antara guru bahasa yang tidak begitu jelas mengetahui manfaat yang boleh mereka
dapati daripada ilmu linguistik. Dengan kata lain mereka tidak mengetahui
kegunaan linguistik di dalam bilik darjah. Ini bukalah kesalahan guru bahasa
sahaja. Ada banyak sebab yang menimbulkan keadaan ini. Pertama, sifat ilmu
linguistik itu dan banyaknya bahan tentang linguistik itu harus akan membunuh
sebarang minat seseorang guru bahasa yang kurang keyakinannya terhadap
linguistik. Misalnya, dalam usaha mempelajari sistem bunyi bahasa Malaysia,
seseorang guru bahasa harus akan menjadi gusar, dan mungkin terus kecewa, kalau
dia diberikan bahan tertulis dalam bentuk ciri-ciri pembeza. Begitu jugalah
dengan deskripsi tatabahasa transformasi, nampaknya seolah-olah berbelit-belit
sehingga menakutkan. Selalunya deskripsi tersebut penuh pula dengan
simbol-simbol matematik. Bagi ramai guru bahasa, linguistik ini masih asing dan
mereka kurang faham bagaimana tatabahasa menghubungkannya dengan tugas mengajar
sehari-hari. Mereka ini perlulah diberi versi yang sudah dipermudah, supaya
mereka tidak berasa begitu gusar semasa menghadapi linguistik untuk pertama
kalinya.
Guru Memerlukan Linguistik Normatif
Memang perlu juga
dimengertikan bahawa ada bezanya antara seorang guru bahasa dengan ahli
linguistik. Seseorang ahli linguistik berhadapan dengan banyak bahasa, tetapi
guru bahasa hanya terlibat dengan satu bahasa sahaja, mungkin dua, kalau
diambil kira bahasa kandung pelajar itu. Ahli linguistik cuba bersikap objektif
dan saintifik dalam menganalisis data daripada sesuatu bahasa, tetapi seseorang
guru bahasa hanya mengajarkan bentuk dan norma baku bahasa itu. Jadi, guru
lebih rapat berhubung dengan aspek normatif bahasa itu daripada aspek
deskripsinya. Perbezaan-perbezaan ini seharusnya membawa perhubungan yang
saling melengkapi antara guru dengan ahli linguistik. Guru bergantung pada ahli
linguistik untuk mendapatkan bahannya, dan ahli linguistik mengharapkan guru
menggunakan hasil deskripsi bahasa yang dibuatnya. Tetapi kita hendaklah juga
sedar, seperti kata Wilkins (1972), bahawa seorang guru yang cukup matang dalam
tatabahasa tradisi mungkin mendapati bahawa deskripsi bahasa yang dibuat oleh
ahli linguistik moden itu mengecewakan. Dia mungkin tidak akan mendapat satu
pun pengetahuan hal yang sama dalam bentuk dan ungkapan baharu. Linguistik
hanya mengambil jalan lain untuk menuju tempat yang sama. Memang ada banyak hal
baharu yang terdapat dalam linguistik, tetapi tatabahasa tradisi juga mungkin
dapat memberikan maklumat yang sama. Kita haruslah dapat bergerak bersama-sama
perkembangan, dan ini adalah satu daripada perkembangan yang menuntut
penyertaan kita. Sebenarnya, sebagai yang kita akan bincangkan kelak,
linguistik memang mempunyai kegunaan positif yang banyak.
Linguistik Gunaan
Oleh sebab
kesukaran ini, dan juga dalam usaha menentukan bidang linguistik yang
diperlukan oleh guru bahasa, maka terdapatlah beberapa buah buku yang dikarang
oleh ahli linguistik bertujuan khusus untuk menyelesaikan masalah tersebut,
misalnya: B Arthur (1973), M.A.K. Halliday et al. (1973), M. Kehoe (1968), P.
Strevens (1977), K.C. Diller (1971), Lim Keat Boey (1975), dan lain-lain lagi.
Ada banyak kegunaan linguistik dalam mengajarkan bahasa. bidang inilah yang
dikenali sebagai linguistik gunaan. Deskripsi sesuatu bahasa itu bolehlah
menjadi bahan mengajar. Memang kadang-kadang bahan tersebut tidak berbeza
isinya daripada tatabahasa tradisi. Tetapi memang tidak boleh disangkal bahawa
salah satu daripada sumbangan linguistik ialah memberi pandangan baharu terhadap
pengajaran bahasa. jadi, gunanya linguistik itu ialah memberi maklumat dan
analisis yang dihasilkan daripada deskripsi sesuatu bahasa tersebut, untuk
dimanfaatkan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran bahasa.
Linguistik Adalah Bahan Mata Pelajaran
Apa yang jelas
ialah seseorang guru itu hendaklah mempunyai pengetahuan yang cukup tentang
mata pelajaran yang diajarkannya. Seorang guru matematik mesti mengetahui
matematik pada peringkat yang hendak diajarkannya. Jadi, dengan alasan yang
sama, seorang guru bahasa memerlukan deskripsi bahasa tersebut, termasuklah
sebarang penjelasan dan cara sistem bahasa itu berlaku untuk dijadikan bahan
mengajar. Inilah yang dikatakan tatabahasa pedagogi. Sebenarnya kita
boleh juga menentukan pengetahuan linguistik yang diperlukan sekiranya kita
tahu rancangan bahasa yang akan diajarkan itu. Sesiapa yang mengajar pertuturan
hendaklah mengetahui sistem bunyi bahasa tersebut. Memang patut juga guru
bahasa itu mengetahui seluruh deskripsi bahasa itu. Dia juga perlu tahu
teori-teori linguistik yang akan berguna baginya semasa mengajar. Misalnya, di
Malaysia, seorang guru bahasa itu perlu juga mengetahui deskripsi bahasa
kandung pelajar itu, seperti bahasa Cina dan India, atau sebarang bahasa atau
dialek yang berkenaan. Mengajar bahasa sebagai bahasa kedua memerlukan guru
mengetahui masalah pelajar. Ini hanya boleh dicapai sekiranya guru mengetahui
kebiasaan bahasa pelajar. Jadi, bukan ilmu linguistik sahaja yang perlu
diketahui oleh seseorang guru bahasa itu, ada aspek lain yang juga penting bagi
guru. Linguistik sahaja tidak akan dapat membentuk guru bahasa yang baik. Juga
tidaklah dapat ditentukan nisbah antara linguistik dengan perkaedahan.
Apa yang jelas ialah bahawa linguistik itu adalah penting dalam melatih guru
bahasa.
Apakah
Jenis Linguistik yang Diperlukan?
Soalan ini
mengingatkan saya kepada suatu iktibar yang diberikan oleh seorang peserta
dalam Persidangan Linguistik di Stockholm pada tahun 1963. Dia berkata, ‘...
perancang persidangan mengingatkan bahawa linguistik ini boleh dibahagi dengan
senang kepada bahagian-bahagiannya seperti ulas-ulas sebuah limau’. Kalau dia
memilih buah lain sebagai bandingannya, mungkin akan terdapat persidangan yang
lain dengan perhubungan dan kesimpulan yang berlainan pula. Iktibar ini baik.
Ada banyak teori linguistik; dan kita hendaklah mengetahui teori yang hendak
diambil untuk pengajaran bahasa. Kalau kita perluaskan iktibar yang sama, guru
bahasa hanya perlu mendapatkan sesuatu faedah daripada teori itu, dan jangan
terlalu bimbang tentang apa teorinya. Misalnya, kita tidak perlu bimbang
tentang apa jenis buah yang kita makan. Kita hanya perlu mengambil yang baik
sahaja daripada setiap buah itu. Mungkin inilah sikap yang paling mudah boleh
dipegang oleh seseorang guru bahasa itu, dan tidak perlu berasa lemas kerana
ada terlalu banyak teori linguistik itu.
Memang hal ini
tidak semudah itu apabila kita berhadapan dengan linguistik. Ada banyak teori
linguistik tetapi bukan semuanya telah diterapkan sepenuhnya untuk kegunaan guru.
Misalnya, dalam bidang analisis dan deskripsi, linguistik amat tidak memuaskan.
Secara ringkas dapat saya katakan selain jenis deskripsi tradisional, tidak
banyak terdapat deskripsi dan penjelasan tentang mana-mana bahasa telah
dijalankan dengan lengkap untuk diambil dan digunakan oleh guru. Ini perlu
dijelaskan lagi, tetapi sebelum itu perlulah diberi sedikit definisi linguistik
dan jenis-jenis teori yang wujud sekarang.
Linguistik
bolehlah didefinisikan sebagai kajian saintifik tentang bahasa (J. Lyons 1968:
1). Istilah ‘saintifik’ itu bermaksud bahawa dia menggunakan eksperimen
terkawal yang mengandungi faktor-faktor variabel yang telah ditentukan dengan
secara objektif. Perkaedahannya juga diterangkan supaya hasilnya dapat diberi
verifikasi. Jadi, kajian saintifik ini hendaklah empirikal, khusus, dan
objektif (F. Dinneen 1967:4). Ini bermaksud bahawa linguistik itu adalah satu
bidang ilmu yang lengkap dengan teori dan perkaedahannya, dan ketepatan
hasilnya boleh diuji. Jadi, bidang linguistik tidaklah merupakan sesuatu yang
hanya dihasilkan menurut agakan, tekaan atau emosi seseorang penulis sahaja.
Guru Memerlukan Pendeskripsian Bahasa
Ungkapan Dinneen
(1967) dalam mendefinisikan bahasa, amatlah sesuai digunakan di sini. Dia
mengatakan bahawa deskripsi bahasa itu pada asasnya adalah bunyi-bunyi yang
boleh dideskripsikan secara linear dan sistematis. Ini berlaku
semasa membentuk gabungan bunyi-bunyi yang mungkin dan dalam membentuk gabungan
unsur-unsur yang bermakna dalam sesuatu bahasa itu. Guru bahasa memang telah
lama bergantung pada deskripsi bahan yang demikian untuk menjalankan tugasnya
sebagai guru di dalam bilik darjah. Tidak ada guru yang akan dapat mengajarkan
bahasa tanpa pengetahuan deskripsi linguistik bahasa itu. Walau bagaimanapun,
deskripsi demikian tidak boleh dikatakan sesuai dengan ilmu linguistik moden
sahaja. Deskripsi bahasa itu dalam bentuk tatabahasa tradisi boleh juga
digunakan, sebagai yang telah lama berlaku.
Dalam
mendefinisikan teori-teori linguistik ini, kita tidak bermaksud untuk hanya
mengemukakan model-model deskripsi linguistik yang utarakan oleh beberapa
mazhab linguistik sahaja. Kita patut juga menerima deskripsi dan penjelasan
yang diterbitkan oleh ilmu linguistik secara umumnya. Kita akan melihat contoh
yang dimaksudkan. Contoh deskripsi yang paling popular ialah deskripsi struktur
yang dijalankan dalam tahun 50-an. Mazhab ini dianggap sebagai mazhab struktur
deskriptif, dan dipelopori oleh sarjana-sarjana seperti L. Bloomfield, C.F.
Hockett, h.a. Gleason, Z. Harris, R.H. Robinss, F.R. Palmer, dan lain-lain.
Mazhab ini telah banyak mengeluarkan deskripsi bahasa. Setakat ini sebenarnya
mazhab inilah yang menghasilkan deskripsi bahasa yang agak lengkap dengan erti
kata bahawa deskripsi itu meliputi semua aspek bahasa. ini termasuklah fonetik,
fonologi, morfologi, sintaksis, dan leksikon. Bahan bahasa yang
sudah dianalisis ini bolehlah disifatkan sebagai menjadi bahan untuk
mengajarkan bahasa. bahan demikianlah yang dihasilkan oleh ramai sarjana
linguistik. Seorang ahli linguistik sahaja tidak mungkin berbuat demikian.
Misalnya, untuk bahasa Malaysia sudah terdapat kajian seperti The Malay
Sound System oleh Yunus Maris (1980), The Morphology of Malay oleh
Abdullah Hassan (1974), The Malay Phonology and Morphology oleh Farid Onn
(1976), Bahasa Malaysia Syntax oleh Nik Safiah Karim (1978), dan The
Syntax of Interrogatives oleh Mashudi Kader (1981). Di samping buku
deskripsi tatabahasa bahasa Malaysia ini terdapat pula beberapa buah kamus
seperti Kamus Dewan (1970/1981), Nahu Melayu Mutakhir oleh Asmah
Hj. Omar (1980). Mengajar Tatabahasa oleh Arbak Othman (1985), Penerbitan
Kata dalam Bahasa Malaysia oleh Abdullah Hassan (1986), dan Tatabahasa
Dewan Jilid I: Ayat oleh Nik Safiah Karim et al., (1986). Hanya bahan yang
meliputi semua aspek bahasa, bunyi, tatabahasa, dan makna seperti inilah yang
dapat dianggap berguna dalam pengajaran bahasa. dalam hal ini, hasil dua tiga
orang ahli linguistik mungkin diperlukan untuk mendapatkan deskripsi yang lebih
lengkap tentang sesuatu bahasa itu.
Tatabahasa Jenis Lain
Di samping jenis
deskripsi ini ada banyak teori dan model deskripsi bahasa, seperti, Tagmemik
(K.L. Pike 1954, 1958 dan W.A. Cooks 1969), Tatabahasa Tingkatan (S.M.
Lamb 1966), Tatabahasa Kasus (J. Anderson 1971), Glosematik (J.
Uldall 1930), Tatabahasa Skala dan Kategori (M.A.K. Halliday 1961), dan Tatabahasa
Generatif (N. Chomsky 1957, 1964, J.J. Katz & P.M. Postal 1964), dan
lain-lain. Baru-baru ini ada pula Tatabahasa Hubungan. Apa sahaja teori
atau model deskripsi bahasa ini, ia mestilah mampu mendeskripsikan seluruh
bahasa itu sebelum hasilnya dapat dianggap berguna untuk pengajaran bahasa.
untuk berbuat demikian tatabahasa itu bukan hanya sekadar mampu menunjukkan
perbezaan-perbezaan antara struktur ayat ayang pada permukaannya nampak serupa,
tetapi juga menunjukkan persamaan struktur sintaksis yang pada permukaannya
kelihatan berbeza. Memang ada beberapa teori moden yang nampaknya banyak
mempunyai kebaikan atau gunanya dalam pengajaran bahasa. Tetapi malangnya
kebanyakan teori baharu ini hanya membuat deskripsi tentang sebahagian atau
aspek kecil sesuatu bahasa itu sahaja. Tidak ada yang menghasilkan deskripsi
yang lengkap tentang mana-mana bahasa. Tatabahasa transformasi generatif yang
amat popular itu pun tidak pernah mendeskripsikan mana-mana bahasa dengan
lengkap. Oleh yang demikian kita hanya berbincang tentang kemungkinan
penggunaan bahan-bahan demikian sahaja. Walaupun demikian kemungkinan
terapannya agak jelas juga daripada contoh-contoh terhad yang diberikan. memang
benar antara mode ini, tatabahasa transformasi generatif, dan tatabahasa mazhab
Inggeris itu menunjukkan kemungkinan kegunaan yang berlebih sedikit, tetapi
masih belum diusahakan sepenuhnya.
Mungkin agak
sesuai tatabahasa transformasi generatif dijadikan dasar kepada latihan
mengajarkan struktur. Rumus penerbitan ayat-ayatnya adalah tersusun. Walau
bagaimanapun, mengajarkan sebutan dengan berpandukan ciri-ciri pembeza memang
tidak akan memudahkan guru atau pelajar. Halliday juga ada menyusun bahan
mengajarkan bahasa Inggeris berdasarkan teori mazhab Inggeris yang menunjukkan
kemampuan yang tinggi. Kemungkinan kegunaannya memang baik, seperti yang
disebut di atas tadi. Teori deskripsi yang baharu ini menunjukkan beberapa
kebaikan berbanding dengan deskripsi lama bahasa-bahasa, tetapi tidak ada
antara model ini yang pernah mendeskripsikan keseluruhan bahasa.
Dalam
mencadangkan penggunaan linguistik dalam pengajaran bahasa, kita hendaklah
faham tentang arah penerapan tersebut. Wilkins (1972) dan Roulet (1975) telah
menunjukkan bahawa hubungan ini hendaklah berlaku dalam dua arah; linguistik
bolehlah mempengaruhi pengajaran bahasa, dan sebaliknya pengajaran bahasa
hendaklah juga mempengaruhi linguistik.
Deskripsi Tatabahasa Perlu Tuntas
Agak sukar juga
bagi seorang ahli linguistik yang bukannya seorang guru menentukan jenis model
linguistik yang diperlukan oleh seseorang guru bahasa. Yang jelas ialah guru
itu terpaksa memilih deskripsi dan pernyataan tatabahasa yang paling lengkap.
Deskripsi yang hanya sebahagian tidaklah akan berguna sangat. Deskripsi ini
tidaklah pula selalunya boleh digunakan tanpa sebarang penyesuaian. Misalnya,
pengajaran bahasa bolehlah memakai hasil deskripsi linguistik seperti suatu
rumusan tatabahasa. Kita tidaklah perlu mementingkan sangat sama ada kita
mengatakan bentuk pasif dalam bahasa Malaysia itu ialah “Apabila objek
penderita menjadi subjek penderita atau FN1 + me + KK + FN2 ® FN2 + di + KK +
oleh + FN1.” Yang pentingnya ialah Ali memukul anjing menjadi Anjing
dipukul oleh Ali. Dengan itu memang ada faedahnya jikalau seseorang guru
bahasa itu mempunyai pengetahuan linguistik walaupun sedikit supaya dia dapat
memilih apa yang baik antara model deskripsi bahasa tersebut, sama ada
tatabahasa tradisi, tatabahasa transformasi, tatabahasa tagmemik, tatabahasa
skala-dan-kategori, tatabahasa kasus, atau tatabahasa hubungan, dan sebagainya.
Hasil Penyelidikan Perlu Disesuaikan untuk Pengajaran
Walau
bagaimanapun, memang betul, apa yang dihasilkan oleh ahli linguistik itu
mungkin tidak merupakan apa yang diperlukan oleh guru bahasa. begitu juga, apa
yang difikirkan dasar oleh seorang ahli linguistik, mungkin tidak menjadi dasar
kepada guru bahasa. yang jelas ialah, hasil deskripsi linguistik itu hendaklah
disesuaikan. Dalam penerapannya banyaklah isu yang boleh dibangkitkan,
misalnya, teori pemerolehan bahasa, sosiolinguistik, dan sebagainya (Roulet
1975). Hal-hal ini juga amat penting dalam pengajaran bahasa.
Kesimpulan
Dalam bab ini
kita telah meninjau sedikit tentang bagaimana teori dan deskripsi bahasa dapat
membantu pengajaran bahasa. tetapi, kalaulah seorang guru itu telah belajar
atau didedahkan kepada sistem bunyi, tatabahasa, dan struktur makna dalam
bahasa Malaysia, masih belum terjamin yang dia akan menjadi guru bahasa Malaysia
yang biak. Untuk menjadi seorang guru yang baik, diperlukan banyak sifat dan
pengetahuan yang lain, seperti bahan mengajar, motivasi pelajar, kaedah,
persekitaran yang mendorong, sikap yang sihat, alat bantu, dan sebagainya.
Setiap satu hal ini sama pentingnya. Pengetahuan linguistik bahasa Malaysia itu
akan menjadi alat sahaja. Ini akan membolehkan kita memahami bahan yang
diajarkannya itu. Agak mustahil bagi kita memahami bagaimana seorang guru itu
akan dapat mengajarkan bahasa Malaysia tanpa pengetahuan sistem dan bagaimana
sistem itu berlaku.
Wilkins (1972)
mengatakan kita jangan harus menerima sahaja hasil linguistik dan terus mencari
kegunaannya. Apa yang patut dilakukan ialah kita mengenali semua masalah
pengajaran bahasa dan kemudian baru melihat jawapannya dalam linguistik. Inilah
sumbangan besar linguistik kepada pengajaran bahasa, iaitu memberi maklumat
tentang bahasa itu.
Kalau seorang
guru bahasa itu gagal mencapai tujuan sesebuah rancangan mengajarkan bahasa
itu, maka harus ada banyak sebabnya. Misalnya, kegagalan mengajarkan bahasa
Malaysia di sekolah itu boleh disebabkan oleh banyak hal. Kekurangan
pengetahuan linguistik memangnya menjadi satu sebab. Latihan guru bahasa
Malaysia juga menjadi sebab, iaitu guru yang tidak terlatih mengajar bahasa
Malaysia. Guru yang tidak mahir dalam bahasa Malaysia ditugaskan mengajarkan
bahasa Malaysia. Guru-guru seperti ini tidak akan berjaya. Ada banyak sebabnya
dan kita tidak harus menyalahkan mana-mana satu pihak sahaja.
No comments:
Post a Comment