Tuesday, January 21, 2014

Penjelasan Hukum Pelaburan ASB dan ASN

Sebagaimana dimaklumi bahawa pelaburan ASB dan ASN telah difatwakan harus oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Namun pada akhir-akhir ini ada pihak-pihak yang menyebarkan surat daripada Suruhanjaya Sekuriti dan juga kenyataan daripada pihak-pihak tertentu yang mengatakan bahawa ASB dan ASN adalah haram. Bagaimana percanggahan hukum seperti ini boleh berlaku?

PENJELASAN:

Perkara pertama yang perlu difahami dalam isu ini ialah perbezaan peranan antara Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (MKI) dan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan merupakan badan pengeluar dan penyelaras hukum hakam dalam apa-apa perkara berkenaan dengan agama Islam yang bersifat nasional yang melibatkan kepentingan seluruh umat Islam.

Manakala Suruhanjaya Sekuriti pula adalah badan yang antara peranannya ialah membuat keputusan sama ada sesuatu sekuriti diklasifikasikan sebagai patuh syariah atau tidak patuh syariah (bukan hukum atau fatwa) berdasarkan garispanduan yang ditetapkan oleh pihak Suruhanjaya Sekuriti.

Metodologi yang diguna pakai oleh kedua-dua badan tersebut dalam membuat keputusan juga adalah berbeza.

Sebagai badan pengeluar hukum, Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan menggunakan kaedah-kaedah istinbat yang muktabar dalam membuat keputusan dengan bersumberkan kepada al-Quran, as-Sunnah, Ijmak dan Qiyas, serta dalil-dalil lain yang diiktiraf syarak. Hukum atau fatwa yang dikeluarkan juga mengambil kira aspek-aspek lain yang muktabar seperti kepentingan umum, keperluan dan maqasid syariyyah dan siasah syar’iyyah.

Berbeza dengan metodologi Suruhanjaya Sekuriti dalam penyenaraian sekuriti patuh syariah yang antara lain mengadaptasi pendekatan kuantitatif yang mengguna pakai tanda aras aktiviti perniagaan dan tanda aras nisbah kewangan. Sebagai contoh, tanda aras lima peratus (5%) diguna pakai bagi perniagaan perjudian dan perbankan konvensional, dan tanda aras 20% diguna pakai bagi perniagaan pembrokeran saham dan operasi hotel serta rumah penginapan. Untuk tanda aras nisbah kewangan, nisbah 33% diambil kira sebagai tanda aras.

Oleh itu sekuriti-sekuriti akan diklasifikasikan sebagai patuh syariah apabila aktiviti perniagaan dan nisbah kewangan mereka berada di bawah tanda aras. Tanda aras tersebut yang diletakkan oleh Suruhanjaya Sekuriti adalah tanda aras umum bagi memudahkan penyenaraian sekuriti patuh syariah dan tidak patuh syariah. Tanda aras tersebut adalah berasaskan kepada ijtihad Suruhanjaya Sekuriti yang bukan bersifat qat’ie dan statik. Ia boleh berubah dengan berubahnya ijtihad. Bahkan, tanda aras tersebut baru sahaja dibuat perubahan pada tahun 2013, di mana sebelum itu tanda aras yang diguna pakai untuk aktiviti perniagaan adalah 5%, 10%, 20% dan 25%, dan tidak mengambil kira nisbah kewangan.

Sebagai badan berautoriti dalam penyenaraian sekuriti patuh syariah, Suruhanjaya Sekuriti mengambil pendekatan yang objektif dalam mengklasifikasikan sekuriti patuh syariah berasaskan tanda aras yang telah ditetapkan, tanpa dipengaruhi elemen-elemen lain seperti siasah syar’iyyah, keperluan dan maslahat umum.

Justeru, Suruhanjaya Sekuriti tidak membuat sebarang pengecualian terhadap sekuriti yang tidak menepati tanda aras mereka.Oleh yang demikian, apabila skim pelaburan ASB dan ASN didapati tidak mematuhi tanda aras sebagaimana ditetapkan, ia tidak disenaraikan oleh Suruhanjaya Sekuriti sebagai patuh syariah.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dalam keputusannya tidak terikat dengan tanda aras yang diletakkan oleh Suruhanjaya Sekuriti. Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan berdasarkan hujah-hujah syarak dan kaedah-kaedah fiqhiyyah dalam pengeluaran hukum, mempunyai ijtihad secara jama’i dalam menilai sekuriti yang bercampur dengan aktiviti tidak patuh syariah khususnya dalam isu ASB dan ASN ini. Dalam hal ini, pandangan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan adalah:

“... PNB tidak melabur dalam sektor yang berkaitan dengan arak dan judi. Percampuran hanya berlaku dalam sektor kewangan di mana 70% pelaburan menepati syariah, hanya 30% sahaja pelaburan dalam Maybank yang dianggap masih tidak comply dengan syariah. Dalam keadaan ini, pelaburan dalam sektor yang halal lebih banyak daripada yang haram. Menurut sebahagian besar fuqaha’ iaitu Hanafi, Maliki, Shafi‘i dan Hanbali, pendekatan untuk mengharuskan masyarakat Islam melabur dalam saham syarikat yang bercampur aktiviti halal dan haram adalah berasas. Ini kerana fuqaha’ muktabar tidak mengharamkan syarikat sedemikian ketika menilai status syarikat yang dikongsi oleh orang Islam dan bukan Islam”.

Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan juga menimbang faktor maslahat dan mudarat yang dijangka berlaku kesan daripada hukum yang dikeluarkan. Antara lain:

“... Maybank adalah satu institusi perbankan Islam terbesar di Asia Pasifik. Sekiranya PNB melepaskan pegangan dalam Maybank, ia bukan hanya akan meruntuhkan ekonomi pemegang saham yang majoriti adalah orang Melayu Islam, bahkan ia juga akan memberi kesan besar kepada situasi ekonomi negara dan banyak organisasi berkaitan orang Islam. Begitu juga peluang pekerjaan yang melibatkan 16,531 kakitangan Bumiputera Islam juga akan turut terjejas”.

Dalam apa jua isu hukum hakam yang dibincang dan diputuskan yang melibatkan kepentingan nasional, faktor-faktor kemaslahatan, kemudaratan, kepentingan awam, siyasah syar’iyyah dan seumpamanya adalah perkara yang telah lama diamalkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Tidak terkecuali dalam isu ASB dan ASN, faktor-faktor tersebut juga diambil kira. Hifz al-mal merupakan salah satu masalah dharuriyah yang perlu diberi perhatian serius oleh pemerintah (Ulil Amri). Soal kekukuhan ekonomi umat adalah merupakan faktor penting kepada penerusan kemajuan umat Islam. Agama Islam menegah umatnya menjerumuskan diri dalam kemudharatan dan kefakiran yang boleh menggugat kekuatan ummah.

Dalam menentukan hujah keharusan Islam dalam pelaburan ASN dan ASB ini, adalah tidak tepat hujah bersandarkan maslahah ummah ditafsirkan sebagai mengenepikan prinsip-prinsip Islam kerana maslahah juga adalah prinsip Islam yang perlu dipegang dalam penentuan sesuatu hukum.

Prinsip pensyariatan Islam yang telah digariskan iaitu kewajipan menjaga lima(5) perkara iaitu agama, nyawa, akal, zuriat dan keturunan serta harta benda perlu dipertahankan kerana ia menjadi tunjang kehidupan seluruh umat Islam. Sekiranya terjejas salah satu daripada perkara ini, maka umat Islam akan ditimpa kehinaan yang akan menjejaskan agama dan kehidupan. Dalam hal ini, hukum ke atas pelaburan ASN dan ASB tidak boleh dilihat dari aspek tertentu sahaja, tetapi perlu mengambilkira semua kesan yang akan dihadapi oleh agama dan umat Islam.

KESIMPULAN:

Kedua-dua badan iaitu Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan dan Suruhanjaya Sekuriti adalah badan yang berautoriti dalam bidang kuasa dan peranan masing-masing. Suruhanjaya Sekuriti mempunyai hak untuk tidak menyenaraikan ASB dan ASN sebagai patuh syariah kerana asas penyenaraian adalah tanda aras yang telah ditetapkan.

Selaras dengan fungsi Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan selaku badan yang bertanggungjawab dalam penentuan hukum hakam di peringkat nasional, maka keputusan hukum yang dikeluarkan adalah berpandukan kepada Ijtihad Jama’i dan konsensus semua ahli Jawatankuasa yang terdiri daripada mufti, alim ulama' dan pakar dalam pelbagai bidang, berasaskan kepada kajian pakar-pakar ekonomi Islam dan penjelasan terperinci oleh pihak PNB sendiri (yang juga mempunyai Majlis Penasihat Shariah bagi meneliti semua aspek pelaburan yang dilaksanakan) tanpa terikat dengan garis panduan atau metodologi badan lain yang jelas mempunyai fungsi yang berbeza.

Pelaksanaan peranan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan ini adalah sepertimana yang diperuntukkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri-Negeri, iaitu sekiranya isu yang berlaku menyentuh kepentingan nasional, maka pandangan/keputusan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan perlu dirujuk terlebih dahulu sebelum sebarang fatwa dikeluarkan oleh negeri kerana matlamatnya ialah bagi mewujudkan penyelarasan dalam hukum hakam yang dikeluarkan di Malaysia.

Oleh itu, dalam isu hukum pelaburan ASB dan ASN ini, keputusan yang telah dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada tahun 2008 tidak sewajarnya dipertikai atau dibanding-bandingkan dengan keputusan mana-mana badan lain atau kenyataan pihak-pihak tertentu yang jelas berbeza samada dari segi fungsi dan autoriti, metodologi atau garispanduan yang digunakan.


Wallahu A’lam.

No comments:

Post a Comment